Budayakan al-Quran di Dun Serom

in Edisi Johor by


TANGKAK –  Sebanyak 100 masjid dan surau dalam Dun Serom di sini, bakal dimeriahkan dengan aktiviti pembudayaan al-Quran selepas lokasi itu digunakan sebagai kursus bagi menajamkan kemahiran mengaji.


Adun Serom, Ir Dr Faizul Amri Adnan berkata, perancangan itu dilakukan selepas meneliti kaedah terbaik untuk beliau selaku wakil rakyat dalam meningkatkan teknik bacaan al-Quran kepada masyarakat.


Menurutnya, setakat ini, dalam kawasan Dun Serom mempunyai 46 guru mengaji dan beliau berhasrat melancarkan bengkel Quran Hour itu selepas ini di semua 76 surau dan 24 masjid yang terdapat dalam Dun ini.


“Bagaimanapun, jumlah kursus ini tertakluk kepada kesesuaian lokasi  dan persetujuan imam serta seluruh ahli jawatankuasa (AJK) mereka.


“Tapi, ini adalah hasrat yang ingin kita laksanakan. Melalui bengkel Quran Hour, penduduk di sini berpeluang untuk menajamkan kema­hiran mengaji mereka sekali gus memberikan persediaan awal untuk peserta menyertai Serom Quran Hour pada masa yang akan datang,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas tamat program Serom Quran Hour di Masjid Al-Falah Serom 3, semalam yang dianjurkan pihaknya bersama Pejabat Kadi Daerah Tangkak dan jabatan kerajaan.


Terdahulu, lebih 1,000 peserta menyertai program terbabit yang diadakan di 28 lokasi di seluruh Dun Serom iaitu di masjid dan institusi pengajian tinggi (IPT).


Faizul Amri berkata, beliau berpuas hati dengan penyertaan orang ramai meskipun pertama kali ia dianjurkan dan justeru, Serom Quran Hour akan diperkasakan pada masa-masa akan datang.


“Memang kami sambut baik penganjuran sebegini dan selaku Adun Serom, saya mahu ia terus dilaksanakan kerana ini juga selaras dengan gagasan kerajaan negeri yang mahu jadikan Johor sebagai negara berprestasi tinggi.


“Melalui penganjuran bengkel ini nanti, orang ramai boleh datang bagi mendapatkan ilmu berkaitan hukum tajwid, bacaan yang betul dan sebagainya dengan secara percuma,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]