Dua jam sembelih 26 ekor haiwan korban

in Edisi Utara by


KUALA KETIL – Masjid Kariah Bandar Perdana Sungai Petani hanya mengambil masa selama dua jam untuk melapah 20 lembu dan enam kambing dalam Aidiladha, baru-baru ini.


Pengarah program korban, Jamil Abdul Rahman berkata, tugasan itu dilaksanakan hasil muafakat 152 peserta yang mengambil bahagian korban dan empat tukang sembelih.


Menurutnya, tugasan bermula jam 10 pagi itu berakhir pada 12 tengah hari.


“Mungkin ramai bertanya sempatkah untuk sembelih 20 lembu?.


“Apa yang pihak kita di sini amalkan ialah pihak masjid syaratkan setiap peserta yang ambil bahagian korban datang dan buat kerja. Sebab tu tak timbul isu cukup atau tidak tenaga kerja,” katanya.


Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Masjid Kariah Bandar Perdana berkata, bagi peserta wanita atau warga emas, mereka disyaratkan menghantar wakil.


“Ada yang hantar anak dan cucu. Mereka dibahagi mengikut kumpulan. Pihak masjid hanya sediakan tenaga pemula cara bagi setiap proses melapah, menghiris dan memotong tulang.


“Ini benar-benar membangkitkan semangat ukhwah yang tinggi dalam kalangan semua terlibat,” katanya.


Tambahnya, setiap peserta turut mendapat baju-T percuma.


Dalam perkembangan lain, imam yang juga Pengerusi Masjid Kariah Bandar Perdana, Amri Mohd Nason berkata, pihak masjid dalam proses mengumpul dana RM7.6 juta bagi pembinaan masjid .


Katanya, penduduk menunaikan solat Jumaat di bangunan surau berkenaan sejak 2014.


“Sebelum ini kami solat di merata tempat. Tetapi apabila penduduk dah mula ramai, kami mula solat di situ setiap kali Jumaat. Pada Aidiladha baru-baru ini juga jemaah wanita terpaksa bersolat di luar ruang surau,” katanya.


Untuk sumbangan boleh disalurkan melalui Bank Islam di nombor akaun 0211 401 000 4736 atau hubunginya di talian 019-4587206.   

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]