Hasil Jalur Gemilang daripada bekas telur

in Edisi Utara by


BUKIT MERTAJAM- Bagi menyemarakkan lagi semangat bulan kemerdekaan, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan kerjasama Zart Eventive telah menghasilkan jalur gemilang gergasi yang dibuat menggunakan kotak bekas telur sempena kempen ‘Sayangi Malaysiaku’.


Yang Dipertua MPSP, Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, jalur gemilang berkenaan dibuat oleh orang ramai semasa menghadiri program pagi tanpa kereta yang diadakan di hadapan Sunway Carnival, Seberang Jaya pada 5 Ogos lalu.


Menurutnya, jalur gemilang gergasi itu dibuat menggunakan 100 bekas telur yang disumbangkan oleh pengusaha premis makanan di sekitar kawasan Butterworth.


“Jalur gemilang gergasi ini kini ditempatkan di bangunan MPSP di Bandar Perda dan orang ramai berpeluang untuk menyampaikan mesej mereka melalui kertas nota yang akan dilekatkan di jalur gemilang berkenaan.


“Tujuan kempen ini diadakan untuk mempertingkatkan lagi semangat kecintaan negara di kalangan rakyat Malaysia selain menekankan kepentingan perpaduan di dalam memastikan kesejahteraan negara walaupun kita hidup dalam suasana berbilang kaum,” katanya.


Rozali berkata, penggunaan kotak bekas telur adalah simbolik ke arah bandaraya rendah karbon yang menjadi visi MPSP untuk menjadikan Seberang Perai sebagai sebuah bandaraya rendah karbon dan bandaraya pintar menjelang 2022.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]