Inovasi bantu pesakit kanser

in Bisnes by


KANSER adalah penyakit disebabkan pertumbuhan sel-sel tidak normal yang tidak terkawal di dalam badan. Ia berpunca akibat kegagalan sistem imun untuk berfungsi dengan baik. Kanser yang tidak dirawat segera boleh menyebabkan kematian.


Di Malaysia, jumlah penghidap kanser meningkat daripada 32,000 kes baharu pada 2008 kepada 37,400 pada 2012. Bilangan ini dijangka meningkat kepada 56,932 pada 2025. Jumlah kematian akibat kanser pula sebanyak 20,100 pada 2008 dan meningkat kepada 21,700 kematian pada 2012.


Kebiasaannya pesakit akan diberikan analgesic jenis morfin bagi kes-kes kanser terminal bagi kurangkan kesakitan dan bisa-bisa pada tulang.


Namun, antara kesan sampingan analgesic jenis morfin ia akan menyebabkan pesakit tidak cergas, selalu mengantuk dan berkhayal.


Justeru, sekumpulan penyelidik daripada Bahagian Teknologi Perubatan Agensi Nuklear Malaysia  diketuai Pegawai Penyelidik Kanan, Dr Azahari Kasbollah telah menghasilkan Samarium-153 Lexidronam (nama kimia Samarium-153-ethylenediamine tetramethylene phosphonate, singkatan Sm-153 EDTMP) iaitu sebuah sebatian kompleks radiofarmaseutikal daripada radioisotop Samarium-153 dengan bahan kimia EDTMP, berfungsi kurangkan kesakitan.


Dr Azahar berkata, “Samarium Sm-153 Lexidronam boleh digunakan untuk bantu legakan kesakitan tulang pesakit kanser tahap kronik.


“Bagi pesakit kanser, mereka ini akan berada pada tahap kronik apabila sel kanser merebak ke seluruh badan dan memberikan kesan kesakitan dan bisa-bisa pada tulang.


“Kebiasaannya pesakit akan diberikan analgesic jenis morfin bagi kurangkan rasa kesakitan dan bisa-bisa pada tulang. Ia bertindak menghalang isyarat-isyarat kecederaan dari dihantar ke otak seterusnya menghalang otak daripada menerima isyarat kesakitan.


“Namun, antara kesan sampingan analgesic jenis morfin ini akan menyebabkan pesakit tidak cergas, selalu mengantuk dan sentiasa berkhayal.


“Oleh kerana chronic pain boleh menimbulkan pelbagai gejala seperti kemurungan dan keletihan yang mengakibatkan kegagalan rawatan doktor, sebenarnya tiada pilihan lain dengan membekalkan ubat penahan sakit yang bersesuaian dengan keadaan pesakit bagi menyerap rasa kesakitan.


“Doktor juga amat berhati-hati untuk tidak memberikan sesuatu yang berlebihan seperti morfin lebih-lebih lagi jika keadaan jantung, buah pinggang atau hati pesakit berisiko tinggi untuk gagal,” katanya.


Berfungsi kurangkan kesakitan tulang


Jelasnya, Radioisotop Samarium-153 telah diluluskan US FDA sebagai “bone palliative treatment”.


“Ia bukanlah penyembuh tetapi lebih kepada rawatan paliatif untuk pesakit dengan kanser yang telah merebak hingga ke tulang.


“Ia disuntik ke dalam vena kemudian radiofarmaseutikal akan beredar ke seluruh badan sebelum bertumpu di kawasan kanser tulang.


“Sm-153 akan mengeluarkan pemancar beta yang bantu beri kelegaan kesakitan. Sm-153 Lexidronam akan dikumuhkan melalui air kencing selepas suntikan intravena,” katanya.


Sm-153 sesuai untuk rawatan terapi


Beliau menjelaskan, Samarium-153 dihasilkan oleh reaktor melalui pengaktifan neutron daripada bahan mentah Samarium-152 trioksida yang merupakan isotop stabil.


“Tenaga purata zarah beta bagi Samarium-153 adalah 233 keV. Zarah beta Samarium-153 bergerak jarak maksimum 3.0 mm dalam tisu lembut dan 1.7 mm dalam tulang di mana sifat-sifat Samarium-153 ini amat sesuai untuk rawatan terapi bagi mengurangkan kesakitan dan bisa-bisa tulang pesakit.


“Kebiasaannya, kesakitan daripada kanser tulang mula bertambah reda pada minggu pertama setelah diberi suntikan radiofarmaseutikal Samarium-153 Lexidronam dan ia boleh bertahan beberapa bulan.


“Namun, Samarium-153 Lexidronam hanya boleh diberikan kepada pesakit di bawah pengawasan doktor yang bertauliah dalam bidang perubatan nuklear,” katanya.


Mahu beri kualiti dalam kehidupan pesakit


Pesakit kanser akan berhadapan skor kualiti hidup yang jauh berbeza apabila menjalani rawatan paliatif, katanya.


“Pesakit akan kelihatan lemah, tidak cergas, selalu mengantuk dan berkhayal. Jadi, penyelidikan produk inovasi ini dilakukan adalah bagi memastikan mereka ada keperluan untuk menikmati kualiti hidup.


“Itu yang ingin kita sampaikan menerusi produk inovasi ini, meskipun mereka menjalani rawatan, namun masih mampu menjalani kualiti kehidupan lebih baik dan mereka akan rasa lebih sihat,” katanya yang memberitahu sekali suntikan mampu bertahan dua hingga tiga bulan.


Tambah Dr Azahari, pihaknya sedang dalam peringkat membangunkan hasil kajian ini dengan mendapat kerjasama daripada Institut Kanser Negara (IKN).            

 


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]