Johor kini jadi rujukan

in Edisi Johor by


KOTA TINGGI – Pendidikan Sekolah Agama (SA) yang wujud di Johor kini telah menjangkaui tempoh satu abad dan wajar dibanggakan rakyat negeri ini.


Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj), Md Rofiki A Shamsudin berkata, diam tak diam pendidikan agama di Johor sudah mencapai satu tempoh amat lama di mana satu majlis sambutan 100 tahun pendidikan Islam Johor akan diadakan pada 13 September ini dirasmikan Sultan Johor.


Menurutnya, perkara itu perlu dibanggakan ekoran negeri ini satu-satunya yang melaksanakan pendidikan Islam yang melangkaui satu tempoh amat lama.


“Pendidikan agama adalah satu khazanah keunikan negeri Johor yang diwarisi turun temurun dan masih dipertahankan sehingga hari ini dan warisan ini masih diteruskan.


“Bahkan ramai cendekiawan telah dilahirkan terkenal di Johor, dalam negara dan juga luar negara. Johor juga sering menjadi rujukan misalnya negara Brunei dan Singapura yang banyak jadikan pendidikan agama Islam di Johor sebagai contoh,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bangunan Sekolah Agama Felda Tenggaroh 5, Mersing.


Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Agama Jainj, Anoar Sarimin; Pegawai Pendidikan Islam Daerah Mersing, Khalid Ithnain; Pengurus Felda Tenggaroh 5, Poniran Ahmad dan Guru Besar SA Felda Tenggaroh 5, Mohd Nazri Astangi.


Md Rofiki berkata, ketika ini lebih 570 sekolah agama telah wujud di Johor dan bilangan itu akan terus ditambah lagi untuk memartabatkan sistem pendidikan agama di negeri ini.


“Bukan sahaja tambah bangunan tetapi kita juga akan kaji sistem mutu pendidikan yang ada. Kita akan sentiasa memberi tumpuan memantapkan sistem pendidikan agama di negeri ini seiring dengan pembangunan dan cabaran masa kini.


“Memandangkan cabaran-cabaran baru yang dihadapi tidak cukup hanya sediakan bangunan fizikal sahaja tetapi perlu melihat cabaran yang sedang kita lalui. Ini termasuklah cabaran pemantapan prasarana, sistem pendidikan agama ini sudah beratus tahun usianya justeru prasarana pendidikan agama di Johor mesti dimantapkan,” katanya.


Pada majlis sama, Md Rofiki turut menyempurnakan acara menanam pokok di sekolah berkenaan sebagai tanda gimik perasmian majlis.


Mengulas mengenai majlis penyerahan bangunan yang sebelum ini merupakan Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB), beliau berharap sekolah yang telah dibaik pulih itu akan terus dipelihara seterusnya dapat melahirkan lebih ramai cendekiawan.Kini terdapat lebih 570 sekolah agama di Johor dan bilangan itu akan terus ditambah lagi.   

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]