Kemas kini pangkalan data kontraktor elak monopoli projek

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor akan mengemas kini sistem pangkalan data bagi memastikan maklumat berkaitan kontraktor dapat direkodkan dengan teratur terutama projek yang dikendalikan.


Pengerusi Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang berkata, sistem dibangunkan Pusat Pembangunan Kontraktor Johor  (JCCD) itu juga dilakukan bagi mengelakkan wujudnya monopoli kontraktor terhadap projek pembangunan kerajaan negeri.


Menurut Mazlan lagi, pihaknya meneliti kertas kerja berkaitan kemas kini sistem pangkalan data berkenaan yang dijangka mengambil masa yang lama untuk dikaji.


“Ada tiga kertas kerja yang akan dinilai, kita perlu pilih sistem terbaik untuk diimplimentasi dasarnya, selain memerlukan masa yang agak panjang bagi menilai sistem terbaik.


“Pangkalan data ini juga akan menunjukkan berapa banyak projek yang dikendalikan dan nilai kerja mereka (kontraktor), ini memudahkan kita untuk kawal peluang projek kepada mereka untuk pastikan tiada monopoli,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Industri Binaan Bumiputera Negeri Johor, semalam.


Mazlan menegaskan dengan mengemaskini pangkalan data, sesuatu projek yang diperoleh sesebuah syarikat kontraktor itu dapat dihadkan agar wujud kesamarataan.


“Dengan sistem ini, kita dapat mengehadkan seorang kontraktor memperoleh maksimum tiga hingga empat projek setahun, berbanding sebelum ini ada yang memperoleh tujuh hingga lapan projek setahun,” katanya.


Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memperketatkan pembaharuan kontraktor sekiranya pihak terbabit dikesan menyewakan lesen itu kepada pihak ketiga.


“Kita akan pastikan selepas ini kita tidak akan sambung lesen mereka (kontraktor), kita tidak mahu kuantiti sahaja tetapi tidak berkualiti.


“Kejayaan mereka bukan bergantung kepada kerajaan, bergantung kepada sikap mereka, kalau mereka berusaha, maka, mereka berjaya,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]