Kepsi rayu penjawat awam N11 jadi ahli

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Kesatuan Pembantu Operasi (Kepsi) Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia (Gred N11), meminta penjawat awam Gred N11 mendaftarkan diri dalam kesatuan yang setakat ini haya mempunyai 2,000 ahli.


Presidennya, M Ramachandran berkata, jumlah itu amat sedikit berikutan terdapat seramai 37,000 pembantu operasi di seluruh Malaysia dan dipercayai kurang pendedahan dan tiada minat antara faktor utama Kepsi tidak mendapat sambutan.


“Saya akui, kurang pendedahan menjadi sebab utama Kepsi tidak mempunyai ramai ahli dan sekarang pelbagai program termasuk roadshow di setiap negeri kita lakukan untuk mencari keahlian baru dalam kalangan pembantu operasi seluruh Malaysia.


“Pada tahun 2006 kita hanya mempunyai 149 ahli tetapi sekarang sudah meningkat lebih 2,000 orang walau pun keahlian Kepsi tidak sampai 10 peratus daripada jumlah penjawat awam N11 yang ada, namun ini tidak akan melemahkan semangat kami,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Pampasan Insurans kepada waris ahli Kepsi yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Maznah Abu Bakar dan Pengerusi Kepsi negeri, Mohd Khairul Riza Abu Bakar di pejabat Pendidikan Daerah Seremban, di sini, hari ini.


Menurutnya, Kepsi ditubuhkan bagi memastikan kebajikan penjawat awam Gred N11 terus terbela selain menjadikan ahli bersatu dan lebih kuat menerusi kesatuan itu.


“Pelbagai kelebihan dan faedah akan diperoleh ahli dengan hanya bayaran RM5 sebulan termasuk dilindungi insurans secara berkelompok, sagu hati untuk anak ahli yang cemerlang, kebajikan terjaga dan khairat kematian RM300.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]