Kerajaan pertimbang laksana cukai soda: PM

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang menimbang untuk melaksanakan cukai soda bagi menggalakkan hidup yang lebih sihat.


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, langkah itu bertujuan untuk mengurangkan penggunaan gula yang boleh menyebabkan penyakit diabetes.


“Kadar diabetes di Malaysia sangat tinggi kerana kita mengambil terlalu banyak gula,” katanya selepas melancarkan Persidangan dan Pameran Cities 4.0 + Business 4.0, di sini, hari ini.


Dr Mahathir berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai pendirian kerajaan berkenaan pelaksanaan cukai soda untuk meningkatkan hasil kerajaan.


Sementara itu, beliau berkata kerajaan juga akan memulihkan semula Cyberjaya untuk lebih menumpukan kepada industri berasaskan teknologi dan pembangunan teknologi baharu serta penggunaannya.


“KIta akan menggalakkan penggunaan Cyberjaya bagi industri seumpama ini,” katanya.


Beliau berkata mungkin akan ada gelombang kedua pembangunan dalam Koridor Raya Multimedia yang dipacu kemajuan teknologi dalam era digital.


Ditanya mengenai projek Forest City di Johor, Dr Mahathir berkata beliau tidak bersetuju dengan idea untuk membina bandar bagi orang asing.


“Apa yang pasti adalah, bandar itu yang akan dibina tidak boleh dijual kepada orang asing.


“Kita membantah kerana ia dibina bagi orang asing, bukan untuk rakyat Malaysia. Kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu membeli apartment itu,” katanya.


Persidangan dan pameran selama tiga hari itu yang bertemakan “To Elevate Smart City and Digital Adoption in Malaysia and the Region” (Meningkatkan Bandar Raya Pintar dan Penggunaan Digital di Malaysia dan Rantau Ini), bertujuan mendedahkan kepada para peserta maklumat penting dan strategi untuk mengguna pakai transformasi digital dalam pelbagai aspek perancangan dan pembangunan bandar serta meningkatkan kecekapan dan perkhidmatan kepada rakyat. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]