Laporan penuh dijangka diperolehi tak lama lagi

in Uncategorized by


IPOH – Kerajaan negeri Perak dijangka akan mendapat laporan penuh berhubung dakwaan berlakunya unsur pencemaran sungai akibat aktiviti perlombongan di Kampung Sahom, Kampar.


Exco Kerajaan Negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, pihaknya turut bimbangĀ  kesan pencemaran yang turut menjejaskan industri pelancongan dengan kurangnya kehadiran pengunjung.


Bagaimanapun menurutnya, pihaknya dimaklumkan bahawa aktiviti perlombongan itu dijalankan oleh operator berlesen.


“Kita ada menerima laporan awal daripada agensi terlibat bagaimanapun, aktiviti perlombongan dijalankan oleh syarikat yang dibenarkan (berlesen).


“Mungkin ada beberapa aspek prosedur operasi standard (SOP) tidak dipatuhi. Kita akan dapatkan laporan penuh dalam minggu hadapan untuk lihat dakwaan penduduk itu,” katanya dalam sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, semalam.


Katanya, kerajaan negeri akan mendapatkan gambaran penuh sebelum mengambil tindakan sewajarnya apabila dakwaan penduduk bahawa sungai tercemar itu memberi kesan gatal-gatal pada kulit.


Terdahulu, tiga sungai utama iaitu Sungai Dipang, Sungai Kepar dan Sungai Reas yang menjadi nadi utama aktiviti berasaskan sungai di Kampung Sahom, didakwa dicemari dengan pembuangan sisa galian oleh sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti perlombongan di hulu sungai.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]