Lawatan ke China buahkan hasil positif

in Nasional by


PUTRAJAYA – Pertemuan Malaysia dengan China semasa lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini telah membuahkan hasil positif dan inisiatif penting yang akan memudahkan eksport minyak sawit Malaysia dalam jumlah lebih besar serta pelbagai komoditi pertanian lain ke China.


Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim memanfaatkan lawatan ke China tersebut untuk mempromosikan lagi komoditi Malaysia di negara yang mempunyai bilangan penduduk yang amat tinggi itu.


Beliau berkata, memandangkan China merupakan antara tiga pengimport utama minyak sawit Malaysia, delegasi Kementerian Industri Utama telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara China National Cereals, Oils & Foodstuffs Corporation dan Sime Darby Plantation Bhd yang akan membawa kepada pengambilan minyak sawit Malaysia yang lebih banyak.


“Ini dianggap usaha penting dan kerja pantas yang telah dimulakan antara kedua-dua pihak untuk merealisasikan perdagangan sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Ketika lawatan rasmi selama lima hari ke China, Dr Mahathir dan Perdana Menteri China, Li Keqiang turut menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Lembaga Getah Malaysia dan Hainan State Farms Bureau & Investments Holding Group.


MoU itu adalah bagi kerjasama dan mengguna pakai teknologi jalan raya bitumen turapan getah yang dijangkakan mewujudkan permintaan tinggi dan peluang pasaran bagi pekebun kecil dan industri getah Malaysia.


Kok berkata usaha lain yang penting bagi industri minyak sawit adalah pemeteraian MoU antara Tsinghua University dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk membangunkan teknologi terkini bagi bahan api bio sawit.


Tsinghua University merupakan antara 50 universiti terkemuka dunia dengan tumpuan utama kepada kejuruteraan dan sains.


“Pasukan penyelidikan terkemuka di universiti itu amat positif bahawa kerjasama dengan MPOB akan menjadi faktor utama dalam menentukan pencapaian sendiri China bagi penggunaan bahan api bio berasaskan sawit dalam mandat tenaga boleh diperbaharu keseluruhannya,” katanya.


Menurut kenyataan itu, Kok dan anggota delegasinya juga mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Pentadbiran Am Kastam China, Ni Yuefeng dengan pelbagai isu kepentingan bersama dibincangkan.


Bantuan teknikal untuk memudahkan import komoditi Malaysia oleh China turut ditawarkan.


Ni turut dimaklumkan mengenai kerjasama semasa antara MPOB dan pentadbiran am pihak berkuasa kastam bagi penerimaan dan pendaftaran minyak sawit merah yang amat berkhasiat, yang memerlukan pemasukan ke dalam piawaian makanan China, katanya.


Delegasi kementerian juga melawat kilang coklat MARS yang terletak di pinggir bandar Beijing. Pasukan pengurusan MARS mengulangi komitmen mereka terhadap penggunaan minyak kelapa sawit Malaysia yang diperakui dan lestari dalam pelbagai jenis konfeksi.


Kok dan delegasinya turut ke Guangzhou untuk melawat kilang penapisan minyak sawit FGV China Oils Ltd, yang dimiliki dan dikendalikan FGV Holdings Bhd. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]