‘Lemas’ sisa abu arang batu

in Edisi Selangor KL by


KAMPUNG SUNGAI SERDANG – Tidak mahu sisa abu atau habuk arang batu terus menghantui penduduk setempat, penduduk kampung mengambil inisiatif proaktif bersama Kapar Energy Venture (KEV) Stesen Janakuasa Kapar.


Usahasama itu penting bagi membendung sisa habuk arang yang menyebabkan kacau ganggu penduduk berikutan jarak stesen janakuasa terbabit hanya 200 meter dari penempatan orang kampung.


Pengerusi Badan Bertindak Sungai Serdang (BBSS), Hairul Anuar Md Sahray menjelaskan, penduduk sebelum ini sering merungut berikutan habuk arang menjejaskan persekitaran rumah dan harta benda.


Lebih menyulitkan keadaan katanya, pencemaran habuk berdebu hitam terbabit mengotorkan kereta, pakaian dan penapis penghawa dingin terutamanya ketika musim kering.


“Stesen janakuasa ini sudah beroperasi lebih 20 tahun dan jarak terlalu dekat dengan penempatan penduduk,” katanya.


Bagaimanapun katanya, pihak KEV Stesen Janakuasa Kapar turut mengambil perhatian terhadap isu ini dan bersama menjayakan inisiatif menanam 190 pokok kelat paya di kawasan bersempadan dengan kolam pengumpulan sisa arang.


“Inisiatif ini membuktikan keprihatinan KEV untuk bersama membantu penduduk untuk menjadikan pokok terbabit sebagai penampan habuk sisa abu arang untuk tempoh jangka masa panjang,” katanya.


Beliau berkata demikian sempena Program Kesejahteraan Alam Sekitar KEV Stesen Janakuasa Kapar bersama lebih 50 Jawatankuasa BBSS dan penduduk Kampung Sungai Serdang.


Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KEV Stesen Janakuasa Kapar, Ir Radin Mohd Badruz Zaman.


Dalam program itu, Hairul Anuar turut membangkitkan aduan sama bagi membolehkan pihak KEV bersama membantu mengurangkan gangguan habuk terhadap penduduk setempat.


“KEV beri jaminan akan anjur lebih banyak inisiatif dan program bagi menjamin kesejahteraan alam sekitar pada masa akan datang.


“Pada masa sama, KEV juga difahamkan sedang berusaha untuk mengurangkan kesan sisa arang batu dan masih dalam kajian untuk mengguna semula sisa bagaimanapun masih dalam perhatian kementerian berkaitan,” katanya.




 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]