Mat Sabu jangan jadi 'penyibuk'

in Politik by


KOTA BHARU – Timbalan Presiden PH, Mohamad Sabu diingatkan tidak menjadi ‘penyibuk’ dalam soal hubungan Pas dan Umno sebaliknya fokus kepada usaha menjernihkan isu pegawai kanannya yang dikaitkan dengan RM800,000 itu.


Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, isu Pas menerima wang RM90 juta daripada Umno sudah lama dimainkan dan sehingga kini pihak yang menuduh tidak dapat memberikan bukti.


Menurutnya, Menteri Pertahanan itu sudah kehabisan idea untuk menyerang Pas dan kembali menggunakan modal RM90 juta yang kemungkinan juga mahu menutup isu selesai status muflis pegawai kanannya itu.


“Biar Mat Sabu selesaikan dahulu isu pegawai kanannya dalam kes RM800,000. Selesaikan yang itu dahulu sebelum buat tuduhan kepada Pas.


“Itu kalau kita nak cakap politiklah sebab perkara ini lebih besar lagi dan orang ramai hendak tahu perkara sebenar. Betul atau tidak. Duit dapat daripada mana,” katanya kepada media ditemui di Kompleks Kota Darul Naim, hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Mohamad yang PH akan mendedahkan bukti Pas menerima duit daripada Umno kepada rakyat pada April tahun depan.


Dalam pada itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan itu juga mahu PH menunjukkan bukti terhadap sebarang tuduhan dilemparkan kepada Pas, bukannya mengalih isu dengan cara memburukkan parti lawan.


Begitu juga dalam soal kemesraan Pas-Umno, Mohd Amar menjelaskan perkara tersebut tidak perlulah ‘dimeriahkan’ oleh PH kerana pucuk pimpinan secara jelasnya telah menerangkan perkara itu.


Bagi Pas, tidak ada hubungan istimewa sebagaimana digambarkan orang luar parti, sebaliknya jalinan kerjasama hanya sekadar di beberapa PRK sahaja.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]