Naik taraf kawasan terbengkalai

in Edisi Utara by


JITRA – Hutan Lipur Bukit Wang, Mukim Malau di sini bakal dibangunkan semula sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi.


Kawasan ini pernah menjadi tumpuan orang ramai beberapa tahun lalu sebelum ia terbengkalai akibat beberapa isu termasuk pembalakan.


Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan sudah diberhentikan, baru-baru ini.


Katanya, Jabatan Hutan negeri Kedah juga kini sedang membaik pulih kemudahan yang ada supaya ia dapat dibuka semula kepada umum dalam keadaan yang lebih baik.


“Kita juga bangga apabila komuniti Kampung Padang Panjang turut berhasrat membantu menanam semula pokok hutan di sini.


“Ini salah satu cara untuk memperbanyakkan spesies pokok hutan bagi menggantikan pokok yang telah tua dan sebagainya,” katanya.


Menurutnya, di samping itu juga mereka mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa negeri untuk membangunkan perkampungan budaya di sekeliling hutan lipur berkenaan.


“Perkampungan budaya ini kita harap menjadi tempat kepada penduduk tempatan untuk mempamerkan budaya kampung yang mungkin sebahagiannya akan terhakis atau terhapus jika tidak dipelihara.


“Contohnya, budaya marhaban, hadrah, gendang silat, wayang kulit dan banyak lagi. Saya yakin, jika ia berjaya dibangunkan kampung budaya ini akan jadi satu produk yang dapat diperkenalkan kepada orang luar,” katanya.


Tambahnya lagi, selain kampung budaya, mereka juga akan bekerjasama dengan jabatan pertanian untuk mewujudkan kawasan penternakan kelulut secara intensif.


“Di mana kita akan menggunakan sumber hutan sebagai sumber makanan kepada kululut yang diternak di sini,” katanya.


Sementara itu, Ketua Majlis Komuniti Kampung Padang Panjang, Muhamad Sahabudin Senawi berkata, dia rasa bertanggungjawab membawa komuniti di sini terlibat dalam pembangunan Bukit Wang selepas melihat kawasan ini sangat jauh ketinggalan.


“Saya sudah merantau terlalu lama ke beberapa negeri di seluruh negara, tapi bila saya balik ke sini, keadaan masih sama dan makin mundur.


“Maka dengan penubuhan Majlis Komuniti Kampung Padang Panjang pada 1 Jun lalu, banyak isu mula diketengahkan oleh penduduk termasuk kesan pembalakan di Bukit Perangin terhadap penduduk dan juga ekosistem Bukit Wang.


“Sejujurnya saya secara peribadi ingin melihat Bukit Wang kembali maju dan mempunyai nama dalam peta pelancongan negeri kedah dan Malaysia.


“Suatu yang amat rugi kerana Bukit Wang adalah sebuah pusat pelancongan yang paling dekat dengan Lebuhraya Plus, iaitu lebih kurang 8km sahaja.


“Jadi saya harap segala perancangan untuk memajukan Bukit Wang ini berjalan lancar dan dapat dibuka semula kepada umum dan seterusnya menjadi antara pusat pelancongan tersohor di Kedah,” katanya.    


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]