Nasib Rafizi ditentukan jawatankuasa pemilihan: Wan Azizah

in Politik by


KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR akan menentukan sama ada bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli boleh bertanding pada pemilihan parti berikutan kes mahkamah yang dihadapinya sebelum ini, kata Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah.


“Terpulang kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) ikut cara mana tentukan sama ada PKR dibatal pendaftaran atau tidak. Ini kerana Rafizi sepatutnya tidak mempunyai apa-apa sabitan, beliau tidak bersalah, jadi apa salahnya beliau bertanding.


“Daripada segi parti tiada masalah untuk Rafizi bertanding…,” kata Timbalan Perdana Menteri itu secara ringkas sewaktu ditemui media di lobi Parlimen hari ini.


Beliau mengulas laporan muka depan akhbar The Sun yang mendakwa PKR berdepan risiko dibatalkan pendaftarannya oleh RoS kerana membenarkan Rafizi bertanding. Ini kerana undang-undang parti tidak membenarkan mana-mana orang yang didapati bersalah oleh mahkamah bertanding pada pemilihan parti.


Menurut laporan itu, Rafizi juga mendakwa beliau telah diberi kebenaran istimewa oleh RoS untuk bertanding.


Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman berkata beliau masih menunggu maklumatbalas RoS berhubung kedudukan Rafizi sebelum boleh memberikan sebarang kenyataan lanjut.


Seramai 800,000 anggota PKR akan mengundi pada pemilihan parti itu yang dijadualkan berlangsung dari 14 September hingga 13 Oktober depan.


Jawatan Timbalan Presiden PKR bakal menyaksikan pertembungan sengit antara penyandangnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan Rafizi.


Datuk Seri Anwar Ibrahim menang tanpa bertanding bagi kerusi Presiden PKR selepas tempoh pencalonan ditutup pada 5 Ogos lepas. – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]