Pelaburan Jepun di wilayah Iskandar dijangka meningkat

in Edisi Johor by


ISKANDAR PUTERI – Kerajaan menjangkakan pelaburan Jepun di wilayah Iskandar Malaysia akan mencatat peningkatan ketara berikutan peralihan kerajaan baharu pasca PRU14.


Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming berkata, ini berikutan kebanyakan pelabur Jepun sebelum ini lebih bersikap ‘tunggu dan lihat’ khususnya yang menyentuh aspek hala tuju kerajaan baharu.


“Apabila pelabur telah lihat dan fahami hala tuju kita, mereka mula menaruh minat. Saya jangka jumlah pelaburan dari negara luar terutamanya Jepun akan meningkat kerana kita mempunyai barisan pimpinan baru dengan idea-idea baru untuk memajukan negara.


“(Malah) ada beberapa syarikat pemula niaga Jepun yang cenderung memilih wilayah Iskandar sebagai lokasi pilihan mengembangkan perniagaan apabila syarikat itu mencecah tempoh matang,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Polisi Pandang ke Timur anjuran anak syarikat Khazanah Nasional Berhad, i2M Ventures Sdn Bhd (i2M) dan Alumni Dasar Pandang Ke Timur (ALEPS) di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Kian Ming berkata, Jepun merupakan rakan strategik Malaysia sejak sekian lama serta rakan dagang keempat terbesar dari segi import dan eksport pada tahun lepas.


“Pada tahun lepas misalnya, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Jepun meningkat sebanyak 14.7 peratus atau bersamaan RM138.5 bilion.


“Jumlah eksport Malaysia ke Jepun pula bertambah sebanyak 17.5 peratus (RM74.9 bilion) manakala import meningkat 11.6 peratus (RM63.6 bilion),” katanya.


Selain itu, mengulas persidangan berkenaan, Kian Ming berkata, ini merupakan antara cara untuk menyuntik nafas baharu Dasar Pandang Ke Timur yang telah diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Rancangan Malaysia Keempat (RMK4) pada 1982.


“Kita mahu melihat idea-idea baru yang boleh dikongsi bersama antara Malaysia dan Jepun kerana dalam tempoh 36 tahun ini, kedua-dua negara terbukti mencapai pembangunan yang pesat.


“Sektor pembuatan masih menjadi tumpuan utama negara kita tetapi pada masa sama kita juga melihat (kepentingan) sektor-sektor lain seperti teknologi, selain perkhidmatan dan industri-industri sokongan dan hiliran,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]