Razali sedia galas tanggungjawab senator

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris sedia menggalas tugas sebagai senator dan bekerjasama dengan kerajaan Terengganu bagi membawa limpahan pembangunan di negeri ini.


Beliau yang dihubungi Sinar Harian hari ini berkata, tumpuan utama yang akan diberikan ialah untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam membawa perubahan yang akan memberi manfaat besar kepada rakyat.


“Walaupun Terengganu diterajui Pas, saya akan beri tumpuan bagi menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Terengganu untuk membawa limpahan pembangunan dari kerajaan Pusat ke negeri ini.


“Saya harap perbezaan politik tidak menjadi penghalang kepada kemajuan di negeri ini (Terengganu) dalam membina negeri dan memastikan rakyatnya mendapat hasil secara adil dan saksama,” katanya.


Dalam pada itu, Razali turut merakam penghargaan terhadap pelantikannya sebagai anggota Dewan Negara hari ini.


“Saya merakam jutaan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memperkenankan pelantikan saya sebagai ahli Dewan Negara.


“Insha ALLAH saya akan laksanakan tugas dan amanah yang diberi sebaik mungkin,” katanya.


Ditanya mengenai kerjasama dengan kerajaan negeri setakat ini, katanya, beliau yakin dengan kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.


“Walaupun saya masih belum ada apa-apa hubungan lagi dengan kerajaan negeri tetapi saya yakin dengan kepimpinan Menteri Besarnya (Dr Ahmad Samsuri) yang nampak lebih terbuka dan bersedia menerima janji untuk kepentingan rakyat,” katanya.


Razali merupakan salah seorang daripada 12 senator baharu yang mengangkat sumpah di Dewan Negara hari ini manakala 11 yang lain adalah wakil Harapan dan seorang daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).


Pada PRU lalu, Razali yang bertanding di kerusi Parlimen Hulu Terengganu tewas kepada calon Umno, Datuk Rosol Wahid.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]