RM43,000 melayang ditipu macau scam

in Edisi by


KOTA BHARU – Seorang pesara pengawal keselamatan berputih mata apabila wang simpanan RM43,000 dalam akaun banknya lesap diperdaya sindiket macau scam melalui panggilan telefon.


Lelaki berusia 54 tahun itu berkata, dia berada di rumah di Jalan Hospital, Kampung Tapang, menerima panggilan telefon rumah pada jam 2 petang, 15 Ogos lalu.


Katanya, pemanggil memperkenalkan dirinya sebagai ‘Sarjan Othman’ dari Balai Polis Labuan, Sabah yang memberitahu dia terlibat dengan jenayah penggubahan wang haram dan diugut untuk diambil tindakan.  


“Menurut Sarjan Othman, sebelum siasatan dijalankan, dia meminta saya memasukkan duit ke satu akaun lelaki dan diberikan nombor akaun berserta nama pemegang akaun.


“Kemudian keesokan hari, pada jam 9.30 pagi, saya sekali lagi menerima panggilan daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Inspektor Ramli’ dan memberitahu akaun saya akan ditahan terlebih dahulu dan meminta saya masukkan duit ke dalam nombor akaun yang diberikan,” katanya kepada Sinar Harian.


Menurutnya, pemanggil itu memberitahu, duit itu dipindahkan ke akaun lain untuk ‘dibersihkan’ dahulu daripada dakwaan jenayah pengubahan wang haram dan akan dikembalikan semula, namun sehingga semalam tidak ada khabar berita.


“Takut dengan ugutan yang dilakukan pemanggil berkenaan dan bimbang akaun saya akan ditahan, saya kemudian mengeluarkan semua wang dan memasukkan ke dalam nombor akaun yang diberikan oleh pemanggil.


“Ketika itu saya berasa seperti kena pukau sebelum selang beberapa jam selepas itu saya menyedari sudah ditipu. Sehingga ke hari ini sudah masuk 12 hari wang saya lesap,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik mengesahkan menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]