'Semangat patriotik perlu dibarakan'

in Edisi Utara by


SUNGAI PETANI – Kemerdekaan negara ke-61 tahun tidak akan membawa sebarang makna sekiranya tiada pengisian berkesan sekaligus bermanfaat buat rakyat.


Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata,  semua pihak perlulah mengambil pendekatan bersungguh-sungguh bagi memberi jaminan bahawa Kemerdekaan ke-61 ini mampu mendatangkan kebaikan.


Dalam pada itu, beliau berkata, semangat patriotik tidak seharusnya dijulang semasa menyambut kemerdekaan semata-mata sebaliknya harus sentiasa membara dalam jiwa di setiap ketika.


“Berkat kesungguhan dan keberanian rakyat, kita mencorakkan kembali pembangunan negara dan meletakkan semula Malaysia di landasan yang betul.


“Kini kita mampu mengukir senyuman dengan adanya kejayaan dan hala tuju pentadbiran yang lebih bermakna sehinggakan ulang tahun kali ini seolah-olah kemerdekaan kali kedua,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kedah Darul Aman di Dataran Zero Kilometer Sungai Petani.


Menurutnya, sempena kemerdekaan, khidmat dan pengorbanan, jasa pejuang dan perwira negara harus dihargai kerana telah membolehkan rakyat kini hidup aman dan merdeka.


Sementara itu, katanya, bagi menyemarakkan semangat cintakan negara, Jalur Gemilang perlu dikibarkan di setiap ruang kediaman bukan hanya di bulan kemerdekaan sahaja sebagai bukti bahawa kita sayangkan Malaysia.      

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]