Si cilik hiburkan pengunjung

in Edisi Utara by


KULIM – Teruja itu reaksi yang jelas ditunjukkan di wajah setiap pengunjung yang hadir bagi menyaksikan persembahan kanak-kanak yang mengambil bahagian sempena Sambutan Bulan Kebangsaan, di sini.


Kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun dan pelatih Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) ini lengkap berpakaian kostum yang diperbuat daripada jalur gemilang membuatkan semua mata tidak berkelip memandang.


Pengerusi Rumah Amal Kulim, Salleh Bahari berkata program yang melibatkan kanak-kanak dan pelatih yang dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) telah menunjukkan bakat mereka menari, menyanyi serta menghiburkan hati pengunjung.


Menurutnya, komitmen yang ditunjukkan di kalangan guru untuk menjayakan program seperti ini juga amat menggalakkan bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan tanpa mengira sesiapa.


“Saya amat bersyukur atas komitmen yang ditunjukkan semua untuk terus menyemarakkan semangat kemerdekaan ini.


“Semangat patriotik ini perlu disemai sejak kecil dan tanpa mengira sesiapa selagi mereka rakyat Malaysia.


“Terutama anak-anak OKU ini, kita perlu bantu mereka untuk memberi didikan dan menanamkan semangat Sayangi Malaysiaku ini,” katanya.


Beliau berkata, pengisian program yang diatur juga akan membantu pengunjung mengembalikan memori dan semangat kemerdekaan yang semakin hilang di bawa arus pemodenan.


“Sedar atau tak semangat kemerdekaan ini semakin pudar, jadi kita penuhi pengisian program ini dengan pelbagai aktiviti untuk kembalikan semangat itu.


“Kita ada pakaian beragam, ciptaan replika melambangkan negara, nyanyian lagu patriotik dan kibarkan Jalur Gemilang,”katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]