Tolak pihak main sentimen agama dan bangsa

in Edisi Selangor KL by


PETALING JAYA – Pengundi di Dun Seri Setia perlu menolak sebarang percubaan  pihak yang memainkan isu agama dan bangsa bagi meraih sokongan dalam kempen PRK kali ini.


Calon PH, Halimey Abu Bakar berkata, keharmonian masyarakat majmuk di  Dun ini tidak sewajarnya digugat sikap rasis pihak tertentu bagi menyalakan api kebencian.


“Saya ingin menegaskan tiada kompromi kepada mereka yang cuba menyalakan api kebencian dan rasa curiga dalam kalangan kita.


“Sepatutnya kita harus berbangga dengan kepelbagaian bangsa dan agama yang ada di sekeliling kita,”katanya ketika sidang media hari ini.


Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Halimey berkata Kerajaan Selangor  telah lama mengamalkan dasar kepelbagaian kaum sejak mengambil alih pentadbiran pada 2008 lalu.


Selain itu, beliau berkata, tiada sebarang kuota melibatkan kaum dikenakan sebagai syarat bagi sebarang permohonan bantuan oleh Kerajaan Selangor.


“Saya juga berjanji akan mengikut pelaksanaan dasar yang sama di Dun Seri Setia iaitu membantu dan memikul tanggungjawab dalam menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira warna kulit, agama dan bangsa,”katanya.


Tambahnya, kepelbagaian kaum di negara ini merupakan satu keunikan yang perlu dipelihara dengan rasa tanggungjawab dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]