15 ekor ular diserah kepada Perhilitan

in Edisi Terengganu by


BESUT – Sebanyak 15 ekor ular yang berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), pagi semalam.


Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Mohd Suhaimi Awang berkata, penyerahan itu membabitkan ular tedung selar, senduk, sawa batik dan sawa tikus.


Menurutnya, penyerahan reptilia berbisa dan tidak berbisa itu adalah prosedur biasa untuk tindakan seterusnya jabatan tersebut.


“Kesemua ular itu adalah yang berjaya ditangkap dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini di daerah Besut termasuk dua ular bersaiz besar yang berjaya ditangkap APM Besut malam tadi (kelmarin) dan pagi tadi (semalam),” katanya.


Mohd Suhaimi berkata, ular bersaiz besar yang ditangkap malam kelmarin jenis sawa batik yang berukuran 4.2 meter panjang dan berat dianggarkan lebih 20 kilogram.


Menurutnya, ular tersebut berjaya ditangkap di bahagian dapur sebuah rumah penduduk Kampung Kayu Kelat, Kuala Besut kira-kira jam 8.17 malam.


“Ular itu didapati berlekar di dalam bahagian simen yang pecah di dapur rumah terbabit dan pihaknya berjaya menangkap ular itu menggunakan peralatan khas.


“Ular sawa itu antara reptilia terbesar ditangkap pihak saya dalam beberapa bulan ini selepas didapati mencerobohi rumah penduduk,” katanya.


Mohd Suhaimi berkata, ular kedua terbesar ditangkap dalam kumpulan itu ialah seekor tedung selar yang ditangkap kira-kira jam 5.15 pagi semalam dekat Bukit Yong sempadan Pasir Putih, Kelantan dan Besut.


Menurutnya, ular tedung sepanjang 3.6 meter dengan berat melebihi 15 kilogram ditangkap selepas menceroboh masuk ke dalam rumah Abdullah Zawawi Mahasan, 75.


“Ular itu mengejar seekor biawak sehingga ke dalam rumah tersebut dan disedari penghuni kira-kira 3.30 pagi selepas biawak tersebut jatuh di atas rumah,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]