Ahli MCA boleh tanding jawatan tertinggi

in Politik by


KAJANG – Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau menghormati hak mana-mana ahli parti yang mahu bertanding bagi jawatan presiden dan siapa sahaja yang dipilih haruslah bersedia untuk bekerjasama bagi memberi nafas baharu dan mengukuhkan semula parti.


Beliau berkata peranannya ialah untuk memastikan peralihan kuasa secara lancar kepada penggantinya.


Bagaimanapun, beliau berharap pemilihan MCA akan datang tidak akan melemahkan parti secara dalaman.


“Saya tidak mahu melihat terlalu banyak kemelut dalaman berlaku berhubung pemilihan parti. Sekarang kita berada di kedudukan paling lemah dan kita semua perlu bekerjasama sebagai satu pasukan untuk melakukan transformasi dalam parti.


“Nasihat saya ialah marilah kita bekerjasama, barang siapa yang mahu mencabar satu sama lain, marilah duduk dan pastikan kita boleh bersama-sama untuk melakukan pembaharuan dalam parti,” kata beliau kepada pemberita pada upacara mengangkat sumpah untuk pemegang jawatan baharu bagi Bahagian Bangi di sini, malam ini.


Tiong Lai diminta mengulas mengenai keputusan bekas Naib Presiden Gan Ping Sieu untuk bertanding bagi jawatan tertinggi.


Selain timbalan presiden, Datuk Seri Wee Ka Siong yang menawarkan dirinya untuk jawatan itu, beberapa anggota parti dilaporkan juga mendesak bekas presiden Tan Sri Dr Chua Soi Lek untuk bertanding jawatan tersebut.


Tiong Lai yang akan mengundur diri pada November berikutan kekalahan pada pilihan raya umu ke-14 secara terbuka memberi sokongan kepada Wee, satu-satunya anggota parlimen dari MCA, untuk menggantikan beliau. Pemilihan MCA akan diadakan pada 4 November.- Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]