
BUTTERWORTH – Bantuan Sara Hidup atau sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) wajar diteruskan dalam agenda untuk membantu mereka yang memerlukan.
Adun Telok Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad berkata, kerajaan baharu perlu meneruskan Bantuan Sara Hidup ini dalam memastikan nasib golongan yang tidak berkemampuan dan miskin agar terus terbela.
“Saya akan menyokong penuh sebarang usaha kerajaan bagi memastikan Bantuan Sara Hidup dapat diteruskan.
“Dalam masa sama, Bantuan Sara Hidup ini juga perlu diperkemaskan dari sudut penerimanya kerana kita mahu mereka yang menerima ini adalah yang benar-benar layak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyampaikan Jalur Gemilang kepada wakil penduduk di Flat Taman Air Tawar Indah..
Katanya, bantuan sedemikian amat bermakna bagi mereka yang benar-benar memerlukannya dan kerajaan harus peka dengan nasib golongan ini.
“Selari dengan hasrat kerajaan dalam memastikan rakyat sentiasa mempunyai peluang dalam menambahkan pendapatan, mungkin Bantuan Sara Hidup ini dapat digunakan rakyat sebagai modal untuk berniaga serta menambah pendapatan.
“Kita mahu mereka guna peluang ini untuk mengubah kehidupan,” katanya.
Source: SH Edisi Utara
[featured-video-plus]