Empat murid wakili negara sertai pertandingan inovasi

in Edisi Utara by


KULIM – Empat murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Wellesly dipilih mewakili Malaysia untuk menyertai Pertandingan Rekacipta Inovasi Antarabangsa di (iCAN) di Toronto Kanada pada 1 September nanti.


Empat murid terbabit iaitu M Mugilan, S Sri Shivani, K Nishasry dan S Mohnissh telah berlepas bersama dua guru pengiring yang akan membawa inovasi daun kenaf dalam penghasilan bahan pencuci untuk barangan tembaga.


Yang DiPertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), S Ramalingam berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat menghantar pelajar terbabit untuk menyertai pertandingan itu.


Menurutnya, pihaknya amat komited untuk membantu murid sekolah ini menyertai pertandingan itu walaupun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri.


“Kos menyertai pertandingan itu amat tinggi kerana melibatkan tambang tiket kapal terbang serta penginapan peserta, oleh itu  pihak PIBG serta Lembaga Pengelola Sekolah membuat kutipan sumbangan daripada pelbagai pihak  bagi merealisasikan impian tersebut.


“Kami juga turut dibantu ibu bapa murid terbabit bagi mencari dana dan selepas beberapa minggu akhirnya hasrat  itu untuk menyertai pertandingan terbabit tercapai.


“Semua pelajar serta guru pengiring berlepas ke Toronto, Kanada, hari ini dan penerbangan terbabit mengambil masa yang amat panjang iaitu kira-kira 19 jam,” katanya.


Beliau berkata, pihaknya amat berharap pasukan ini mampu mengharumkan nama sekolah dan negara pada pertandingan itu nanti.


“Kita harap mereka akan mendapatkan sekurangnya dua lagi anugerah pada pertandingan itu,” katanya.


Seorang peserta, Sri Shivani, berkata, dia bersama rakan-rakannya amat teruja untuk menyertai pertandingan terbabit.


“Walaupun rasa agak gementar kerana berada di negara orang serta akan menghadapi saingan dari  peserta pelbagai negara kami tetap bersemangat.


“Kami sudah melakukan persiapan dari segi bahan serta maklumat sejak beberapa bulan lalu untuk menyertai pertandingan inovasi ini.


“Kami berharap hasil ciptaan kami iaitu bahan pencuci tembaga yang mesra alam serta bebas bahan kimia akan berjaya menarik minat pihak juri di sana nanti,”katanya.


Sementara itu seorang waris peserta, Thanalechimi, 40, berasa amat bangga apabila anak perempuannya, K Nishasry, akan menyertai pertandingan inovasi itu.


Katanya dia amat bangga dengan anaknya itu dan berharap pengalamannya di luar negara itu akan dapat meningkatkan pencapaiannya dalam akademik pada peperiksaan nanti.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]