Forest City: Zuraida diarah bentuk jawatankuasa

in Nasional by


PUTRAJAYA – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata, beliau telah diarahkan membentuk satu jawatankuasa bagi menyemak, mengenalpasti dan menilai perjanjian berhubung penjualan unit kediaman di projek Forest City, Johor.


Zuraida berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan beliau mempengerusikan mesyuarat berkenaan antara kementeriannya, kementerian kewangan, kerajaan negeri dan pemaju susulan larangan penjualan unit kediaman itu kepada warga asing.


“Kenyataan itu (larangan menjual rumah kepada warga asing) akan diperhalusi dan kita akan memanggil pihak-pihak berkaitan untuk bermesyuarat dan berbincang mengenai arahan tersebut,”katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) di kementerian itu hari ini.


Menurutnya Dr Mahathir belum mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan larangan tersebut namun katanya pemaju projek berkenaan sepatutnya mendapat ‘mesej’  daripada kenyataan itu.


“Kebanyakan unit kediaman tersebut telah dijual di China dan kita akan melihat mekanisme jualan dan perkara berkaitan,” katanya.


Zuraida berkata, projek Forest City membabitkan pelaburan sehingga AS$100 bilion itu tidak berkaitan dengan kementerian itu dan tidak termasuk di dalam MPFN.


[ARTIKEL BERKAITAN:  http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/dr-mahathir-kata-lain-ketika-bertemu-kami-1.872919]


Semalam Dr Mahathir dilaporkan berkata bahawa kerajaan akan menghalang orang asing daripada membeli hartanah di Forest City.


Syarikat Pemaju Forest City iaitu Country Garden Pacificview Sdn Bhd (Country Garden) pula mendakwa kenyataan perdana menteri yang dilaporkan media berhubung projek itu bertentangan dengan hasil pertemuan beliau dengan syarikat itu.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]