Harimau Malaya akan turunkan pasukan terkuat bagi Piala AFF

in Sukan by


NAMA 24 pemain skuad Harimau Malaya bagi perlawanan persahabatan yang diumumkan hari ini tidak semestinya tersenarai bagi kejohanan Piala AFF pada November nanti.


Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata jurulatih pasukan kebangsaan Tan Cheng Hoe sudah berbincang dengan beliau dan bersetuju untuk meninggalkan dahulu nama beberapa pemain.


“Kita tahu ada beberapa pemain yang masih perlu bermain dalam saingan Piala Malaysia dan kita juga perlu mengenal pasti jika ada pemain yang bergelut dengan kecederaan. Sebenarnya Tan sudah ada barisan yang diingini tetapi hanya akan dinamakan selepas perlawanan persahabatan terakhir menentang pasukan Maldives.


“Saya bagaimanapun memberi jaminan pasukan terkuat akan diturunkan dalam kejohanan AFF nanti,” katanya selepas majlis pelancaran ‘Eat Right to Play Right’ di Wisma FAM, di sini.


Skuad Harimau Malaya dijadual bertemu Taiwan dan Kemboja dalam perlawanan persahabatan kelas A masing-masing pada 7 dan 10 September sebelum bertemu Sri Lanka, Kyrgyzstan dan Maldives juga bagi perlawanan persahabatan.


Ketika ditanya mengapa nama pemain Pahang Mohamadou Sumerah masih tiada dalam senarai berkenaan, beliau berkata terdapat proses yang perlu dipatuhi bagi menyenaraikan pemain berstatus naturalisasi.


Hamidin sebelum ini dilaporkan mengakui cadangan mengambil pemain berstatus naturalisasi adalah satu mekanisme yang baik untuk meningkatkan prestasi Harimau Malaya dan malah perkara itu juga telah mendapat lampu hijau daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


Dalam pada itu Hamidin berkata FAM memberi sokongan penuh kepada syarikat insurans Zurich Malaysia yang antara lain mempromosi budaya pemakanan sihat dan gaya hidup aktif menerusi bola sepak melalui program ‘Eat Right to Play Right’ yang dianjurkan sejak 2016 dengan disertai lebih 3,000 kanak-kanak seluruh negara.


“Bakat adalah penting namun pemakanan juga perlu dijaga. Saya harap program seperti ini akan memberi manfaat kepada pemain-pemain bola sepak cilik yang bercita-cita menjadi pemain bola sepak pada masa hadapan,” katanya. – Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]