
BAGAN SERAI – Mana tidak tumpahnya kasih ayah jika tidak kepada anaknya.
Lebih manis, kesungguhan seorang ayah membawa anaknya yang menghidap penyakit Celebrum Palsy dengan menggunakan roda khas bagi menyertai acara Kerian Incredible Dualthlon hari ini ternyata menyentuh hati banyak pihak.
Kesungguhan jitu itu juga membuahkan hasil lumayan apabila peserta, Wira Sudepja Rabu,43, bersama anak istimewanya, Nur Wadihan Wira Sudepja,10, bukan sahaja menamatkan larian sejauh 42 kilometer, malah usaha mereka turut diiktiraf The Malaysia Book Of Records.

Wira Sudepja berkata, kemampuan dirinya mengharungi acara mencabar itu dengan jayanya biarpun terpaksa membawa anaknya menggunakan pengangkutan khas adalah membuktikan tiada yang mustahil dicapai sekiranya manusia ada kesungguhan.
“Bagi kategori Sprinter, saya perlu berlari sejauh lima kilometer, berkayuh sejauh 32 kilometer dan sekali lagi perlu berlari sejauh lima kilometer.
“Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan larian ini biarpun diuji dengan cuaca panas serta karenah anak meragam sewaktu acara larian dan kayuhan basikal.

“Paling diingati, setiap kali Nur Wadihan meragam, saya perlu mendukungnya sambil menepuk dan mengurut tubuh badannya bagi menenangkannya kembali sebelum meneruskan larian dan kayuhan,” katanya sewaktu ditemui media selepas berjaya menamatkan acara Kerian Incredible Dualthlon yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Serai di sini.
Menceritakan saat mengharungi acara mencabar itu, Wira Sudepja mengakui dia hampir terpaksa membatalkan penyertaan apabila pada satu ketika, keadaan Nur Wadihan hampir berterusan meragam.
Menurutnya, sekiranya dia terpaksa membatalkan penyertaannya, impiannya untuk mencipta nama di dalam The Malaysia Book of Record selaku peserta pertama di negara ini yang menyertai acara Dualthlon sambil membawa anak orang kurang upaya (OKU) lebur.
“Saya langsung tidak menyasarkan tempat dalam acara ini sebaliknya hanya bertekad mahu menamatkan larian ini.

“Alhamdulillah, saya dan Nur Wadihan berjaya mengatasi pelbagai rintangan dan menamatkan acara ini dengan menerima pengiktirafan dari The Malaysia Book Of Records,” katanya.
Wira Sudepja berkata, bersempena hari kemerdekaan negara bakal tiba, beliau berharap masyarakat lebih bersikap inklusif dan memberi layanan sama rata terhadap golongan OKU.
Menurutnya, faktor utama dirinya melibatkan Nur Wadihan menyertai acara tersebut adalah bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk tidak memberi layanan ‘double standard’ kepada golongan OKU.
“Sememangnya diketahui golongan seperti ini banyak kekangan dan mereka sebenarnya amat memerlukan sokongan masyarakat untuk sama-sama meraikan dan diraikan,” katanya.

Wira Sudepja berkata, bermula enam tahun lalu, beliau dan keluarga mula membawa Nur Wadihan keluar bersiar-siar dengan aktiviti berbasikal dan dari situ mereka mula melihat perkembangan positif akan kesihatan anaknya.
“Perkembangan besar adalah dari segi emosinya di mana kami melihatnya lebih gembira dan tersenyum biarpun dalam dunia tersendiri.
“Para ibu bapa yang mempunyai anak seperti kami dinasihatkan agar tidak malu dan jangan berputus asa dalam menjaga dan menggembirakan mereka.
“Pernah satu ketika dahulu doktor yang merawat anak saya ini memaklumkan hayatnya mungkin tidak lama, namun kami bersyukur berkat usaha tidak putus asa, kesihatan Nur Wadihan kini semakin positif,”katanya.
Wira Sudepja dan Nur Wadihan yang memulakan acara itu pada jam 7.30 pagi tadi berjaya menamatkan acara kategori Sprinter dalam masa lebih kurang empat jam.
Terdahulu, pasangan anak beranak itu diraikan pihak penganjur dengan upacara pemberian sijil pengiktirafan dari wakil The Malaysia Book Of Records, Edwin Yeoh yang dilangsungkan tepat jam 12 tengahari.
Source: SH Edisi Perak
[featured-video-plus]