Ikan tilapia Malaysia selamat dimakan

in Nasional by


PUTRAJAYA – Ikan tilapia di Malaysia selamat dimakan kerana penternak ikan di negara ini mengamalkan kaedah ternakan yang baik selaras dengan garis panduan Amalan Akuakultur Baik (GAqP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan (DOF).


Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Munir Mohd Nawi berkata, pihaknya telah melaksanakan pemantauan di bawah Program Pemantauan Residu Akuakultur (ARMP) dan ‘Sanitary and Phytosanitary’ (SPS) dari masa ke semasa dan sehingga kini pihaknya mendapati tiada penggunaan makanan yang dicampur hormon dan agen pengalakkan tumbesaran diamalkan di Malaysia.


“Sehingga kini 1,059 ladang ternakan di seluruh Malaysia telah dipantau bagi memastikan ikan dan hasilan ikan bebas daripada kesan pencemaran dan selamat untuk dimakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini bagi menjawab isu berkaitan sebuah video “Tiga Sebab Kenapa Anda Perlu Henti Memakan Ikan Tilapia” yang tular baru-baru ini.


Video tersebut mendakwa makan ikan tilapia akan meningkatkan risiko keradangan, mengandungi bahan pencemar karsinogenik dan penyebab kanser selain terdedah kepada antibiotik dan racun perosak.


Munir berkata tiada kajian spesifik dan laporan khusus dari badan dan pertubuhan kesihatan awam bahawa manusia yang memakan ikan tilapia yang diberi pellet yang mengandungi soya dan jagung yang diubahsuai secara genetik (GM) akan meningkatkan risiko keradangan dan kanser.


Menurutnya, penggunaan protein tumbuhan seperti soya dan jagung GM untuk menggantikan sumber protein makanan ikan telah mendapat kelulusan pihak berkuasa Norway dan Kesatuan Eropah sejak 20 tahun lalu.


Malah katanya, ternakan lembu juga diberi makanan berasal daripada GM jagung selain emping jagung komersial yang dimakan oleh ribuan manusia setiap hari juga dibuat menggunakan GM jagung.


“Tiada kajian secara spesifik dan laporan khusus dari organisasi bertanggungjawab terhadap kesihatan seperti  Badan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (USFDA) mengenai dakwaan ikan tilapia akan meningkatkan risiko keradangan serta hubung kait antara makanan tilapia dengan penyakit-penyakit yang dinyatakan.


“Penggunaan antibiotik dan racun perosak pula adalah dilarang dalam industri ternakan akuakultur di Malaysia yang mana di bawah Peraturan Perikanan Akuakultur (Darat) 2017 (WP Kuala Lumpur dan WP Labuan) menyatakan bahawa penggunaan bahan residu terlarang seperti antibiotik, hormon dan agen penggalak adalah tidak dibenarkan, “ katanya.


Munir berkata, penggunaan antibiotik pada ternakan juga tilapia amat jarang diamalkan kerana spesis ini secara relatifnya murah dan tiada keperluan untuk menambah kos ternakan.


Namun demikian menurutnya, DOF akan sentiasa menjalankan kajian dan memantau mengenai penggunaan antibiotik di dalam industri akuakultur di Malaysia. -Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]