IPR lebih baik berbanding BR1M

in Politik by


PETALING JAYA – Calon PH bagi PRK Dun Seri Setia, Halimey Abu Bakar menyifatkan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dimulakan oleh kerajaan negeri adalah lebih baik berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) khususnya dalam memperkasa golongan wanita kurang berkemampuan.


Katanya, pada fasa pertama pelaksanaan program Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss), sebanyak 30 peratus daripada 26,972 wanita sudah pun menerima manfaat baucar beli belah bulanan sebanyak RM200.


Menurutnya, program Kiss bukan sahaja banyak memfokuskan dalam membantu golongan wanita kurang berkemampuan, malah ia lebih baik daripada BR1M yang diperkenalkan kerajaan terdahulu yang hanya menumpukan kepada ketua keluarga.


“Melalui dominasi wanita dalam permohonan IPR membuktikan kerajaan negeri berada di landasan sepatutnya dalam membangun dan memperkasakan wanita pada masa kini.


“Selain itu, saya dapati ramai wanita yang tidak mengetahui cara untuk mendapatkan pinjaman perniagaan melalui Skim Hijrah yang berperanan mengurangkan beban peniaga kecil selain berpeluang mendapatkan modal tambahan.


“Saya beri jaminan apa yang baik dilaksanakan oleh kerajaan negeri ini akan saya salur dan praktikkan demi membantu wanita di sini,” katanya ketika sidang media, hari ini.


Selain itu, Halimey berkata, golongan wanita di Dun Seri Setia akan dapat menikmati kesemua faedah daripada program IPR tidak lama lagi apabila semua urusan permohonan berkaitannya boleh dilakukan di pejabat Dun yang akan ditubuhkan nanti.


“Kita juga sudah merangka program meningkatkan pendapatan isi rumah bagi membantu wanita di Dun ini.


“Wanita yang berminat akan dilatih dalam bidang pembuatan makanan sejuk beku, jahitan, urutan tradisional dan spa kecantikan.


“Golongan ibu tunggal juga tidak ketinggalan dalam menerima manfaat ke arah kedudukan ekonomi yang lebih baik,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]