Jual arak lebih murah dari air berperisa!

in Edisi Utara by


BUKIT MERTAJAM – Kerajaan digesa memandang serius mengenai penjualan arak murah yang masih berleluasa dijual dan mudah didapati di pasaran pada masa kini.


Malah ada arak yang dijual lebih murah berbanding air berperisa yang dijual di kedai dengan harga RM2 sedangkan kandungan alkoholnya melebihi 38 peratus.


Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), David Marshel berkata, sebelum ini bekas menteri kesihatan pernah menyatakan selepas 1 Disember 2017 tidak akan ada lagi arak murah yang akan dijual di pasaran namun perkara itu tidak ditunaikan sebaliknya sehingga hari ini arak murah masih dijual di merata-rata kedai di seluruh negara.


Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Anti-Arak Murah Malaysia berkata, disebabkan penjualan arak murah secara berleluasa ini menyebabkan banyak masalah sosial berlaku seperti pergaduhan, gangguan seksual, penderaan anak dan isteri serta banyak lagi.


“Kini di pasaran terdapat lebih 300 jenis arak buatan tempatan dengan lesen dijual di bawah RM50 dengan kandungan 40 peratus alkohol dan paling murah RM2 yang dengan isipadu 125 milileter (ml).


“Pelbagai jenama yang menarik perhatian golongan muda khususnya di bawah umur 21 tahun malah hasil pemantauan kami mendapati sudah banyak golongan pelajar sekolah yang gemar mencuba arak murah dengan pelbagai perisa,” katanya.


David berkata, MPSP sebelum ini telah meluluskan satu dasar untuk mengawal penjualan arak murah ini di kawasan Seberang Perai dan selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang sihat, dasar berkenaan harus dikuatkuasa segera bagi mengatasi masalah sosial, kesihatan dan sekaligus menyekat golongan muda di bawah umur 21 tahun membeli minuman keras dengan mudah.


“Dasar baharu ini belum dikuatkuasakan lagi walaupun ia telah diluluskan dalam mesyuarat penuh yang diadakan tahun lalu seperti membatalkan semua lesen arak kedai runcit kecuali kedai ubatan tradisional Cina dan memperkenalkan lesen arak khas yang hanya benarkan menjual arak yang mematuhi syarat Akta Eksasis 1976.


“Sebelum ini juga heboh diperkatakan kerajaan akan memperkenalkan cukai soda tetapi saya rasa lebih baik kerajaan menaikkan cukai arak kerana pada ketika ini ada arak yang dijual lebih murah daripada air soda dan ini perlu diambil kira,” katanya.


Beliau berkata, menteri kesihatan yang baharu harus bertindak segera dalam isu ini tanpa melengah-lengahkan masa selain segera kuatkuasakan Peraturan-Peraturan Makanan (Pindaan 2016) dengan sedikit penambahbaikan supaya dapat menyelamatkan banyak nyawa selain dapat mengatasi masalah sosial yang berlaku di negara ini.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]