KDN tubuh jawatan kuasa kaji undang-undang keselamatan

in Nasional by


PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan satu jawatan kuasa khas untuk mengkaji undang-undang keselamatan yang tidak lagi sesuai dengan landskap sosial dan politik hari ini.


Penubuhan jawatan kuasa itu selaras dengan manifesto kerajaan dalam PRU14  berkaitan pemansuhan dan pindaan beberapa undang-undang.


Dalam satu kenyataan, KDN berkata, sehingga kini, jawatan kuasa yang dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Alwi Ibrahim  sudah mengadakan mesyuarat sebanyak tiga kali, iaitu pada 13 Julai, 30 Julai dan hari ini.


Menurut kenyataan itu, jawatan kuasa tersebut dianggotai wakil daripada jabatan, agensi dan pihak-pihak berkaitan seperti Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Badan Peguam Malaysia, ahli akademik, pengamal undang-undang, Jawatan Kuasa Pembaharuan Institusi dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.


“Skop kajian jawatan kuasa ini merangkumi undang-undang di bawah bidang kuasa KDN yang dinyatakan dalam manifesto kerajaan iaitu Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1985, Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.


“Selain itu, ia turut melibatkan Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Pencegahan Keganasan 2015 dan peruntukan mengenai hukuman mati mandatori,” katanya hari ini.


KDN berkata, terma rujukan jawatan kuasa tersebut antara lain melibatkan kajian dan menentukan sama ada undang-undang berkenaan masih sesuai dengan landskap sosial dan politik semasa.


Selain itu, jawatan kuasa tersebut juga akan mengkaji dan mengenal pasti peruntukan-peruntukan di dalam undang-undang berkenaan yang tidak selari dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa serta mengkaji dan mengenal pasti implikasi yang akan timbul jika undang-undang terbabit dimansuh atau dipinda.


Jawatan kuasa itu juga bertanggungjawab mencadangkan penggubalan undang-undang baharu atau pindaan undang-undang sedia ada, serta mengemukakan syor kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Semua cadangan dan perakuan akan dibawa kepada jemaah menteri untuk dipertimbangkan bagi sebarang keputusan.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]