Kerajaan negeri nafi ambil alih Al Barakah

in Uncategorized by


IPOH – Kerajaan negeri tidak pernah berhasrat mengambil alih sekolah tahfiz milik Pusat Pendidikan Al Barakah.


Exco Kerajaan Negeri, Asmuni Awi berkata, pihaknya tidak mempunyai perancangan ke arah itu malah tiada perbincangan dibuat mengenai pengambilalihan pusat tahfiz terbabit.


Katanya, ia sekaligus menafikan dakwaan Pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah, Datuk Mohd Kazim Elias bahawa kerajaan negeri akan mengambil alih sekolah tahfiz milik pusat tersebut.


“Kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang perbincangan dan rundingan untuk pengurusan sekolah itu dibantu bagi melihat bagaimana kerajaan negeri boleh menyelesaikan masalah yang ada. Saya minta supaya pengurusan Al Barakah berjumpa dengan saya, sehingga hari ini tiada seorang wakil yang berjumpa dengan saya.


“Soal yang mengatakan kerajaan negeri membuat janji menawarkan untuk mengambil alih pusat pengajian itu tak timbul sebab saya tak pernah buat kenyataan untuk ambil alih malah saya rasa menteri besar pun tak ada (buat kenyataan),” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.


Semalam, Mohd Kazim yang menjadi panelis Wacana Sinar Harian meluahkan kekecewaan selepas mendakwa kerajaan negeri masih belum menghubungi pihaknya bagi mengambil alih pusat tahfiz tersebut.


Sementara itu, Asmuni berkata, pihak pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah sepatutnya bertemu dengan kerajaan negeri mengemukakan kertas kerja mengenai bentuk bantuan yang diperlukan.


“Kita membuka pintu rundingan dengan semua pihak yang inginkan bantuan. Buat kertas kerja nyatakan bentuk bantuan yang diperlukan oleh mereka sama ada bantuan kewangan atau tak mampu nak menguruskan sekolah dan sebagainya itu sebenarnya yang harus dibincangkan, tak boleh tembak jarak jauh begitu sahaja.


“Apabila dikatakan bahawa telah menerima pelbagai tawaran daripada pihak lain.  Pada saya tak ada masalah kalau ada pihak yang mahu mengambil alih pusat tersebut. Teruskan sahaja kerana yang paling utama pusat pengajian itu dapat bergerak,” katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, Asmuni berkata, sekolah tahfiz swasta memang tidak menerima bantuan sepenuhnya kerana ia dilaksanakam secara persendirian.


Katanya, pihak pengurusan sekolah berkenaan seharusnya bersedia dengan segala kemungkinan dalam melaksanakan projek pembinaan sekolah tahfiz ini malah sebarang pembinaan tidak dibuat perbincangan dengan kerajaan.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]