Kerajaan sedang runding kurangkan kadar tol

in Nasional by


BALAKONG – Kerajaan PH berikrar akan mengotakan janji untuk menghapuskan tol secara berstruktur dan ia dimulakan dengan pengurangan kadar tol secara berperingkat.


Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, penghapusan tol tidak termaktub dalam 10 janji 100 hari manifesto PH, sebaliknya ia akan dihapuskan secara jangka panjang.


Menurutnya, kerajaan tidak boleh tergopoh-gapah kerana ia membabitkan bayaran pampasan yang besar jumlahnya dan juga melibatkan nasib ribuan pekerja syarikat tol yang akan terjejas sekiranya ia dihapuskan mendadak.


“Hapus tol bukan janji 100 hari, ia janji secara jangka panjang. Jadi kita dah sebut dari awal lagi, perubahan secara berperingkat dan berstruktur, ia akan berlaku dan ini juga kita tak boleh tergopoh gapah.


“Setelah kita ambil alih pemerintahan, kita dapati ada banyak masalah. Kewangan negara sudah diambil, hapus licin oleh pemerintah yang lepas, hutang-hutang yang terlalu banyak dibebankan begitu juga ada pelbagai keterikatan dengan semua pemegang-pemegang konsesi,” katanya ketika ditemui media selepas program walkabout Bandar Tun Hussein Onn bersama calon PH, Wong Siew Ki,di sini, hari ini.


Bagaimanapun, Setiausaha Agung Amanah itu mengumumkan, kerajaan kini dalam usaha rundingan dengan syarikat konsesi tol untuk mengurangkan kadar tol sebelum ia dihapuskan sepenuhnya seperti dijanjikan dalam manifesto PRU14.


“Kita akan mula dengan pengurangan berperingkat dan ada yang mungkin akan ditutup, api ada yang mungkin kita tak boleh buat begitu sebab kena berunding dengan pemegang-pemegang konsesi supaya tidak menaikkan kadar tol.


“Hal ini kerana ada perjanjian setiap tiga tahun mesti dinaik taraf, selalunya naik, yang turun cuma hujan saja. Oleh sebab itu kita akan berunding untuk pastikan tidak berlaku kenaikan.


“Rundingan antara kerajaan dan pemegang konsesi tol agar mencapai situasi menang-menang untuk pastikan tol di Malaysia ini kalau boleh dikurangkan, paling cantik ditiadakan tetapi kita harus ambil kira semuanya pastikan tol kita tol yang membebankan. Kita akan cuba usahakan secara berperingkat dan beban rakyat kita berjanji, kita bersumpah untuk kurangkan,” tegas ahli Parlimen Temerloh itu.


[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan boleh hapus tol tapi berperingkat]


Menurutnya, Kementerian Kerja Raya sudah mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat konsesi sejak bulan pertama PH mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan.


“Rundingan sedang berjalan, saya dan Menteri Kerja Raya, Baru Bian sudah adakan pertemuan dengan syarikat konsesi sejak bulan pertama PH ambil alih kerajaan.


“Rundingan ini mesti berterusan sebab lebuh raya bertol ini banyak, dalam bandar, Lembah Klang, lebuh raya utara, selatan, pantai timur dan perbincangan ini berterusan.


“Mereka bekerja dekat dengan mereka, ada ribuan pekerja mereka yang akan terjejas, itu juga kita ambil kira. Kalau tutup sekarang, kita nak tangani berapa ribu orang hilang pekerjaan, itu pun kita tak boleh lepas tangan, ke mana pula mereka nak mencari rezeki, banyak perkara perlu dipertimbang,” katanya.


Mohd Anuar menjelaskan, pada dasarnya semua pihak bersetuju untuk memastikan tiada siapa yang akan berdepan kerugian.


“Syarikat konsesi tahu kerajaan ada kuasa untuk membatalkan semua tol dan bayar pampasan ribuan juta namun kerajaan harus bersedia disaman. Kita tidak akan berbuat demikian kerana kerajaan harus jaga kepentingan semua.


“Mereka (konsesi) juga sedar kita juga tertekan dengan ini, kalau batal kita kena bayar pampasan yang sangat tinggi dan kalau perkara ini berlaku, masalah kegawatan ekonomi akibat perbelanjaan luar jangka akan lebih buruk.


“Ia juga akan terkait dengan Bajet, kerajaan mungkin tak boleh bagi peruntukan yang banyak sebab kena bayar pampasan, banyak perkara perlu dikaji,” tambahnya.


Beliau mengingatkan, bahawa kerajaan bukannya sengaja berdolak-dalih untuk melunaskan janji namun ia memerlukan masa dan mengambil kira kepentingan negara yang lebih besar.


“Tapi rakyat ramai tak faham dan mereka ingat kita saja-saja tak nak buat saja-saja nak menipu, kita harus menjaga kepentingan negara yang lebih besar pembangunan negara jangka panjang


“Tidak bererti kami nak berdalih, pada prinsipnya kerajaan mana pun mengurangkan beban rakyat. Sampai masa rakyat akan faham,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]