Lancar dana untuk Al-Aqsa

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyasarkan kutipan dana RM6 juta dalam tempoh setahun bagi membiayai kesemua projek NGO itu berkaitan pembelaan Masjid Al-Aqsa.


Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Mapim merupakan satu-satunya NGO Malaysia yang diberi kebenaran menguruskan aktiviti kemanusiaan dalam masjid berkenaan.


Menurutnya, antara enam projek Mapim di Masjid Al-Aqsa adalah membiayai dua klinik, empat madrasah, membaiki kerosakan fizikal masjid serta sedang berusaha mendapatkan tender membersihkan masjid tersebut.


“Mapim akan adakan siri jelajah ke masjid di setiap negeri untuk memberi penerangan situasi terkini rakyat Palestin termasuk kumpul dana Tabung Wakaf Al-Aqsa. Tabung ini untuk infak penyelenggaraan Masjid Al-Aqsa, di mana sebelum ini dibiayai Jordan namun negara itu lepas tangan menyebabkan kini tiada dana,” katanya selepas majlis perasmian Multaqa Masaajid Peduli Masjid Al-Aqsa peringkat daerah Kota Setar, di Masjid Al-Hasanah Taman Rakyat, dirasmikan Exco Kedah, Zamri Yusuf.


Mohd Azmi berkata, program yang dilancarkan enam bulan lalu itu akan diperluas ke setiap negeri.


“Projek ini bermula daripada rangkaian masjid sedunia peduli Al-Aqsa, yang kemudiannya diusahakan peringkat Asean dan Malaysia, sebelum diperluas ke negeri dan daerah. Terdapat lima juta masjid di seluruh dunia manakala 6,400 masjid di negara ini, jika semua gembleng usaha kita mampu jayakan misi ini,” katanya.


Menurutnya, isu Palestin semakin kritikal susulan kekejaman tentera Yahudi yang masih berlaku secara berleluasa.


“Setelah Donald Trump pindahkan Tel Aviv ke Baitulmaqdis (Jurusalem) sebagai ibu negara Israel, keadaan makin kritikal, menyebabkan Mapim memutuskan wujudkan program ini. Kami harap masjid di Kedah menyokong aktiviti kesedaran ini selain menyumbang untuk disampaikan kepada pejuang Palestin dan pembelaan Masjid Al-Aqsa,” katanya.


Mohd Azmi berkata, masjid antara lokasi strategik meningkatkan kesedaran masyarakat melalui kempen kepada anak kariah.


“Saya juga berharap diadakan himpunan besar-besaran seluruh masjid untuk nyatakan sokongan. Mapim sedang berunding bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa untuk anjur program bacaan Yasin sejuta umat,” katanya.


Menurutnya, ia merupakan acara kemuncak program yang akan berlangsung di Masjid Putrajaya dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.


“Kita akan cetak sejuta Yasin untuk diagih dan dibaca semua peringkat usia dan dijangka diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul akan datang,” katanya.


Sementara Zamri berkata, kerajaan negeri menyokong usaha murni Mapim khususnya dalam membantu rakyat Palestin dan pembelaan Masjid Al-Aqsa.


“Masjid sebagai pusat umat Islam berkumpul, jika semua berikan sokongan ke arah satu objektif, kemampuan untuk mencapai sasaran lebih tinggi. Selain kesedaran, rakyat hendaklah ambil peduli, peka, simpati dan bertindak membantu,” katanya.


Menurutnya, seluruh masjid di Kedah melebihi 570 buah termasuk 94 masjid di daerah Kota Setar akan memberi komitmen menjayakan misi ini.       


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]