Pembantu jurujual dicabul rakan sekerja

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Seorang pembantu jurujual berdepan mimpi ngeri apabila dicabul oleh rakan sekerjanya yang juga pekerja warga asing, ketika sedang bekerja di sebuah butik pakaian, di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, gadis berusia 20 tahun itu mendakwa dihampiri secara tiba-tiba oleh lelaki, warganegara Pakistan, 34, sebelum bertindak memeluk dan menciumnya.


Menurut sumber, mangsa tidak sempat mengelak dan tidak mampu berbuat apa-apa bagi menyelamatkan maruahnya kerana langsung tidak menyedari kehadiran suspek di ruang dia sedang bekerja.


“Suspek semakin berani sejurus menyedari tiada orang di kawasan persekitaran sebelum bertindak meraba buah dada serta perut mangsa.


“Bengang dengan tindakan melampau suspek, mangsa nekad melawan dengan cuba memukulnya sebelum berjaya melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.


Sumber berkata, mangsa turut mendakwa sering menjadi ‘sasaran’ gangguan seksual oleh suspek ditempat kerja sebelum ini.


“Dia mendakwa suspek sering menganggunya dengan mengambil kesempatan memegang tangan selain kerap mengajak mangsa ke rumah sewanya tetapi tidak diendahkan.


“Bagaimanapun, selepas insiden itu, mangsa yang bimbang akan keselamatan dirinya pada masa akan datang dan merasa tidak tenteram sepanjang berada di tempat kerja mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


Susulan laporan dibuat, suspek ditangkap kira-kira jam 4 petang semalam di hadapan butik terbabit.


Sementara itu, hari ini, Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen/ Majistret Noradila Ab Latif membenarkan suspek direman tiga hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]