Persiapan sambut bayi jadi abu

in Edisi by


KUALA KRAI – Pasangan suami isteri yang sedang menu­nggu kelahiran cahaya mata keempat tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah terbakar di Guchil Tujuh, pe­tang semalam.


Kejadian turut memusnahkan segala  keperluan bayi yang telah disediakan  Ilyas Ismail, 34, dan isterinya, Siti Noramalina Hamidi,35, sejak beberapa bulan lalu.


Menceritakan kejadian petang kelmarin, Ilyas berkata, ketika itu , isterinya serta dua anak, Ilmi Afiq,6,serta Idlan Mubasir,4 berada dalam rumah sementara anak sulung,Siti Nor Ilyana,8,masih berada di Sekolah Kebangsaan Banggol Guchip.


Ilyas berkata, dia  yang baharu pulang dari tempat kerja pula berada di halaman rumah selepas mandi dan rehat seketika.


“Secara tiba-tiba isteri menjerit dari dalam rumah  memberitahu ada api, tanpa berlengah saya terus meluru masuk .


“Sebaik ke bahagian dapur, kelihatan api agak besar. Tanpa berlengah saya cuba padamkan api menggunakan kain basah,tetapi gagal,api pula makin besar,” katanya kepada Sinar Harian.


Dia berkata, bimbang keselamatan diri dan anak terancam dia segera menyelamatkan diri dengan berlari keluar dari rumah.


“Anak ketiga yang sedang makan berlari keluar sebaik melihat api makin marak,isteri pula memimpin tangan anak kedua.


“Sebaik keluar kami ke rumah jiran ,” katanya sedih kerana gagal menyelamatkan keperluan bayi yang dijangka lahir pada bila-bila masa.


Ilyas berkata,dia juga gagal menyelamatkan kesemua dokumen penting milik mereka sekeluarga.


Katanya lagi,isterinya dijangka melahirkan anak keempat pada 22 Ogos lalu dan telah ke klinik dan Hospital Kuala Krai dan dibenarkan pulang.


Katanya, walaupun gagal menyelamatkan keperluan anak yang bakal lahir,dia meluahkan rasa syukur apabila menerima sumbangan daripada pelbagai pihak sejak selepas berita menimpa keluarganya tersebar petang kelmarin.


“Hari ini pelbagai pihak datang menyampaikan sumbangan termasuklah wakil rakyat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta badan bukan kerajaan ( NGO),” katanya yang kini menetap bersama bapanya yang tinggal berjiran dengannya.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohamad Hanif Che Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.48 petang memaklumkan kejadian.


Menurutnya, beliau mengetuai sembilan anggota ke tempat kejadian.


“Tiba di tempat kejadian rumah  dua tingkat separuh kekal berukuran  40 x 30 telah terbakar hampir 70 peratus,” katanya


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]