PH hargai peranan golongan wanita

in Politik by


PETALING JAYA – PKR dan kerajaan yang diterajui PH komited untuk menghargai sumbangan golongan wanita dan perkara itu terbukti apabila sekurang-kurangnya 30 peratus golongan itu terlibat dalam membuat keputusan sama ada di peringkat induk mahu pun di peringkat akar umbi.


Calon PH bagi PRK Dun Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, ada di antara mereka telah dilantik sebagai Exco Negeri, Yang DiPertua (YDP) Majlis Perbandaran, Pegawai Daerah, mahupun sebagai Pengarah Bahagian dan Peneraju di dalam Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GLC).


Katanya, tidak lupa, wanita pertama yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merupakan seorang wanita yang mempunyai semangat juang yang tinggi, jiwanya kental dan berani.


“Saya juga ingin memaklumkan di peringkat negeri Selangor telah ada diwujudkan program dikenali Penggerak Wanita Berdaya (PWB), selain penubuhan sebuah institusi dikenali Institut Wanita Berdaya (IWB).


“Kedua-dua entiti ini diwujudkan dengan tujuan merangka polisi dan strategi bagi pemerkasaan dan pembangunan wanita secara holistik. Terutama untuk meningkatkan lagi status sosioekonomi wanita di negeri ini,” katanya ketika sidang media sempena kempen PRK Dun Seri Setia.


Selain itu, di peringkat Dun Seri Setia pula, beliau memberi jaminan apa yang baik yang dilakukan oleh kerajaan negeri ini akan disalur dan terus dipraktikkan demi membantu golongan wanita di sini.


Katanya, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat,  telah melancarkan Skim I-SURI untuk membantu golongan wanita, di mana sumbangan kerajaan sebanyak RM40 disalurkan ke akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi wanita yang layak.


“Selain itu ada juga disalurkan caruman daripada kerajaan sebanyak RM20 ke dalam akaun Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta potongan 2% daripada caruman suami ke dalam akaun KWSP isteri masing-masing.


“Suka saya memberi jaminan di sini, golongan wanita yang layak di kawasan Dun Seri Setia ini akan dapat menikmati kesemua faedah daripada program itu tidak lama lagi apabila semua urusan permohonan berkaitannya boleh dilakukan di pejabat Dun yang akan ditubuhkan nanti,” katanya.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]