Projek kondo: Penduduk gesa campur tangan menteri

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Penduduk di Lot 310 Lorong Peel, Cheras, di sini menggesa Menteri Wilayah, Khalid Samad menarik balik kelulusan terhadap projek pembangunan kondominium 45 tingkat yang bakal dibangunkan di kawasan itu.  


Peguam Kamarudin Ahmad yang mewakili penduduk di kawasan tersebut berkata, projek itu tidak wajar diteruskan kerana mendakwa kawasan tanah yang digunakan pemaju itu merupakan rizab jalan.


Menurutnya, penduduk kawasan berkenaan akan berdepan dengan masalah akses sekiranya projek itu diteruskan.


“Anak guam saya bimbang sekiranya projek ini diteruskan boleh mengganggu rancangan kerajaan untuk melebarkan jalan ini kerana ia adalah rizab jalan. Jadi anak guam saya merayu kepada Menteri Wilayah dan kerajaan pada hari ini untuk menghentikan projek ini dan membatalkan sebarang kelulusan yang diberikan kepada pemaju.


“Projek ini belum bermula. Masih belum terlambat untuk Menteri Wilayah campur tangan dan batalkan kelulusan demi kepentingan penduduk yang sudah menetap di situ sejak sekian lama,” katanya kepada pemberita ketika hadir bersama-sama lebih kurang 20 penduduk di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.

Kira-kira 20 wakil penduduk hadir membuat bantahan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.


Sementara itu, wakil penduduk yang juga Ketua Biro Pemantauan Salah Guna Kuasa dan Hal Ehwal Kaum Cina Pertubuhan Minda Dan Sosial Prihatin (PMSP), Tony Tan Chee Chong berkata, isu berkenaan pernah dibangkitkan semasa pemerintahan kerajaan terdahulu namun tidak mendapat maklum balas positif.


Justeru ujarnya, pihaknya mengharapkan Menteri Wilayah di bawah kepimpinan PH pada hari ini mengambil serius bantahan oleh penduduk.


“Projek itu akan menutup jalan yang sering digunakan penduduk. Walhal ia adalah rizab jalan. Penduduk terpaksa pusing jauh jika projek itu diteruskan. Kepadatan pembangunan dengan lebih 1000 kenderaan untuk kondominium itu juga akan menyebabkan laluan menjadi sesak,” katanya.


Dalam masa sama, Tony turut mendesak Kementerian Wilayah agar menyiasat sekiranya berlaku penyalahgunaan kuasa dalam proses pembelian tanah tujuan komersial itu dengan harga yang rendah kerana mendakwa tanah itu dijual pada harga RM199 sekaki persegi, lebih murah daripada tanah bersebelahan dengannya iaitu RM350 sekaki perseki.


Terdahulu, Tony menyerahkan memorandum bantahan kepada Pegawai Khas Menteri Wilayah Persekutuan, Nik Abd Razak Nik Md Ridzuan.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]