Rahim Noor tahu rahsia di Selatan Thailand

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Pelantikan Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator baharu untuk proses damai di wilayah selatan Thailand adalah kerana beliau mempunyai pengalaman dan pengetahuan mengenai kawasan itu, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.


Beliau menarik perhatian bahawa bekas Ketua Polis Negara itu sebelum ini pernah ditugaskan untuk berunding dengan pihak komunis pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri ketika itu.


Ini, katanya, menjurus kepada majlis menandatangani perjanjian damai di Hatyai pada 1989.


“Saya yakin perdana menteri (sekarang Dr Mahathir) melihat di sudut keupayaan dan kebolehan itu, maka diberikan tugas itu kepada beliau (Abdul Rahim),” katanya dalam sidang akhbar  selepas  menghadiri  perhimpunan bulanan di kementerianya di sini hari ini.


Abdul Rahim, 75, yang menjadi Ketua Polis Negara dari 1994 hingga 1999, pada Jumaat lepas mengesahkan pelantikan itu.  


Mengulas perkembangan siasatan ke atas pembantu politiknya yang didakwa menerima RM800,000 daripada beberapa pihak, Mohamad berkata pihaknya menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


“Saya sedia memberi sebarang kerjasama bagi membantu SPRM,” katanya.


Pada 14 Ogos lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan sedang menyiasat pembantu politik seorang menteri berhubung dakwaan menerima wang berkenaan daripada  beberapa pihak untuk membantunya menyelesaikan masalah hutang serta dikeluarkan daripada status muflis. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]