Sukan Asia: Gandingan ‘bidan terjun’sumbang gangsa

in Sukan by


JAKARTA – Hanya dua hari digandingkan, namun pasangan penerjun negara Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri berjaya mencipta kejutan apabila menghadiahkan pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama wanita pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, malam ini.


Mun Yee yang merangkul pingat ketiga dalam acara berkenaan sepanjang lima edisi Sukan Asia disertainya tidak menyangka dalam tempoh yang singat, beliau dan Nur Dhabitah dapat melakukan terjunan konsisten.


“Saya gembira dengan persembahan kami hari ini, sebab kita berjaya mengekalkan konsisten itu meskipun kami baru digandingkan di saat akhir.


“Sebenarnya baru dua hari kami bergandingan dan persiapan dilakukan dalam keadaan sangat singkat dan tergesa-gesa. Jadi saya sangat berpuas hati dengan keputusan hari ini,” katanya ketika ditemui media Malaysia di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno di sini, hari ini.


Nur Dhabitah dipilih bergandingan dengan Mun Yee selepas ratu terjun negara, Pandelela Rinong terpaksa menarik diri susulan kecederaan dialaminya semasa menjalani latihan, Sabtu lepas.


Sementara itu, Nur Dhabitah mengakui melakukan beberapa kesilapan kecil, namun berterima kasih kepada Mun Yee atas sokongan diberikan yang akhirnya membantu beliau meraih pingat Sukan Asia pertama dalam penyertaan sulungnya.


“Sepanjang terjunan itu, ada sedikit terkurang dan ada yang baik dan secara keseluruhan saya berpuas hati. Saya berterima kasih kepada Mun Yee sebab dia seorang senior yang hebat. Ini pingat Sukan Asia pertama saya, sudah semestinya saya gembira dengan keputusan ini,” kata penerjun berusia 19 tahun itu.


Pada aksi malam ini, catatan markah keseluruhan 310.80 yang diperoleh selepas melakukan enam terjunan sudah cukup meletakkan gandingan penerjun negara itu dalam kalangan tiga terbaik daripada lapan pasangan bertanding.


Pingat emas acara itu dimenangi pasangan China Zhang Minjie-Zhang Jiaqi selepas mengumpul 361.38 mata, sementara perak menjadi milik gandingan Kim Kuk Hyang-Kim Mi Rae dari Korea Utara yang mengutip 337.86 mata. -Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]