Syor lanjut tempoh operasi hospital medan

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan akan mencadangkan kepada kerajaan agar tempoh pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Cox Bazaar, Bangladesh dilanjutkan selama setahun lagi.


Menterinya Mohamad Sabu berkata hospital itu yang memulakan operasi pada 26 November 2016 bagi membantu Pelarian Rohingnya akan menamatkan perkhidmatannya pada 31 Disember ini.


“Sepanjang tempoh itu, kami telah mendapat bantuan dan kerjasama Kerajaan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Brunei daripada segi ubat-ubatan, kenderaan operasi dan ambulans serta peralatan-peralatan seperti pam dan mesin penapis air untuk hospital itu.


Selain itu, yang terkini, Kerajaan United Kingdom dan Australia turut menyatakan hasrat untuk membantu operasi hospital berkenaan termasuk menawarkan pasukan perubatan,” katanya ketika berucap dalam majlis perhimpunan bulanan kementerian di sini, hari ini.


Mohamad berkata kementerian juga sedang berusaha mengadakan rundingan dengan kerajaan Bangladesh bagi menjayakan hasrat berkenaan agar ia dapat direalisasikan.


Hospital Medan Malaysia mula beroperasi pada hujung tahun lepas sejurus berlakunya kebanjiran lebih 700,000 pelarian Rohingya dari Myanmar ke Bangladesh akibat keganasan pihak berkuasa Myanmar di utara Rakhine pada 25 Ogos tahun lepas.


Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata kementerian akan menghantar kumpulan pertama misi pengaman daripada Batalion Malaysia (Malbatt) 850-6 ke Lubnan pada 6 September depan bagi menggantikan Malbatt 850-5 yang akan tamat tempoh penugasan pada 24 September depan.


“Kumpulan Malbatt 850-6 akan menyambung misi pengaman ini untuk tempoh setahun lagi,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]