Syor pemimpin tentera Myanmar didakwa lakukan genosid

in Global by


NEW YORK – AMERIKA SYARIKAT. Para penyiasat yang dilantik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyiasat isu penghijrahan beramai-ramai pelarian Myanmar pada Isnin mengesyorkan agar beberapa komander tentera tertinggi negara itu diheret ke muka pengadilan iaitu berdepan satu inkuiri dan pendakwaan kerana melakukan jenayah “paling kejam” terhadap orang awam, termasuk genosid, di bawah undang-undang antarabangsa.


Gesaan itu dibuat susulan satu laporan oleh badan dunia itu berhubung situasi yang membawa kepada penghijrahan beramai-ramai lebih 700,000 pelarian Rohingya dari Myanmar, bermula pada pertengahan Ogos tahun lepas.


Terdahulu, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia menyifatkan penghijrahan beramai-ramai pelarian dari Myanmar itu sebagai satu “contoh pembersihan etnik dalam buku teks.”


Laporan itu menyenaraikan jenayah yang dilakukan seperti pembunuhan, rogol, penyeksaan, perhambaan seksual, penganiayaan dan perhambaan.  


Perkara ini dinyatakan oleh Misi Pencarian Fakta Antarabangsa Bebas di Myanmar (IIFFMM).


Pasukan penyiasat itu, yang terdiri daripada Marzuki Darusman, Radhika Coomaraswamy dan Christopher Sidoti menonjolkan kepada media “ciri kekejaman teratur yang terpaksa ditempuhi orang awam di negeri Rakhine, Myanmar sejak 2011, serta negeri-negeri Kachin dan Shan.”


“Misi pencarian fakta itu telah merumuskan, berdasarkan alasan yang munasabah, bahawa pola pelanggaran teruk hak asasi manusia dan pencabulan serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang ditemui adalah terjumlah kepada jenayah paling kejam di bawah undang-undang antarabangsa,” kata Sidoti sambil menegaskan bahawa jenayah ini pada dasarnya dilakukan oleh tentera, Tatmadaw, yang merujuk kepada angkatan bersenjata Myanmar.


Termasuk dalam senarai yang didakwa sebagai pelaku ialah Ketua Komander Kanan Jeneral Min Aung Hlaing dan lima komander lain.


“Misi itu telah merumuskan bahawa siasan dan pendakwaan jenayah adalah wajar, yang memfokus kepada jeneral tertinggi Tatmadaw, berhubung tiga kategori jenayah di bawah undang-undang antarabangsa; genosid, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang.”


“Di Myanmar, terdapat rantaian perintah yang amat jelas,” kata Sidoti sambil menambah “tidak ada sebarang keraguan dalam minda kami, apapun yang kita lihat berlaku di Rakhine secara keseluruhan, tidak akan berlaku tanpa, pertamanya, pengetahuan kepimpinan kanan tentera dan keduanya, di bawah kawalan berkesan mereka.


“Oleh itu, berdasarkan kejelasan rantaian perintah di Myanmar, maka kami mengesyorkan agar siasatan dan pendakwaan dilakukan terhadap keenam-enam individu ini.”


Daripada lebih 800 keterangan yang dikumpul, satu daripadanya secara khusus menerangkan dengan terperinci dan grafik sejauh mana penyeksaan yang berlaku, merujuk kes seorang pelarian wanita yang berjaya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh.


“Saya bernasib baik, saya hanya dirogol oleh tiga lelaki,” katanya.


Tahap kekejaman dan pencabulan yang mengerikan itu mendorong Coomaraswamy – beliau adalah bekas Wakil Khas PBB bagi Kanak-Kanak dan Konflik Bersenjata – membuat kenyataan bahawa skala, kekejaman dan ciri sistematik rogol dan kekerasan menunjukkkan sebahagian daripada strategi yang sengaja digunakan untuk mengugut, menakut-nakutkan atau menghukum penduduk awam.


“Kesemua itu digunakan sebagai satu taktik peperangan yang kami temui, termasuk rogol, rogol beramai-ramai, perhambaan seksual, bogel paksa dan mutilasi.”


Sebelum misi pencarian fakta menyerahkan penemuannya kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang berpangkalan di Geneva bulan depan, pengerusi Marzuki Darusman menekankan bahawa satu daripada syor utama panel itu yang menuntut perhatian Majlis Keselamatan PBB ialah seperti berikut:


“Misi menggesa situasi di Myanmar dirujuk kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan itu, tentunya adalah tugas Majlis Keselamatan. Oleh itu, mesej kepada Majlis Keselamatan ialah, sudah tentulah ‘Rujuk Myanmar ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.” – Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]