Terima deposit pelaburan tanpa lesen, dua lelaki didakwa

in Uncategorized by


TAIPING – Gara-gara terbabit dalam satu skim pelaburan meragukan, dua lelakiĀ  dihadapkan ke Mahkamah Seksyen di sini semalam atas tuduhan menerima deposit pelaburan RM5,720 daripada seorang lelaki tanpa lesen sah, di sini dua tahun lalu.


Dua tertuduh terbabit, Yap Ying Chao,26, yang berasal dari Kulim, Kedah dan Boo Weil Seng,30, berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, pada mulanya membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syed Faisal Syed Amir.


Namun begitu, apabila kali kedua pertuduhan dibacakan diselangi pertanyaan berulang kali Syed Faisal, kedua-dua tertuduh seolah-olah tidak memahami pertuduhan dibacakan dan mula memberikan jawapan kontra dengan pengakuan bersalah dibuat.


Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Safiyatun Ahmadun meminta mahkamah membuat keputusan menetapkan semula tarikh pendakwaan ke atas dua tertuduh tersebut dengan diiringi jurubahasa berbahasa Mandarin kerana pengakuan diberikan dianggap pengakuan bersyarat.


Justeru, mahkamah menetapkan kedua-dua tertuduh dibenarkan dijamin dengan wang ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.


Berdasarkan kertas pertuduhan, Ying Chao dan Weil Seng didakwa bersama-sama menerima deposit daripada Fong Han Yan,30, berjumlah RM5,720 tanpa lesen sah diberikan mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Wang 2013 (Akta 758).


Mereka melakukan perbuatan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Kamunting dekat sini pada jam 11.14 pagi, 12 April 2016.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Wang 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.


Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh diperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya sekali.


Syed Faisal kemudiannya menetapkan tarikh 7 September ini untuk membolehkan kes pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dibaca semula dengan diiringi khidmat jurubahasa berbahasa Mandarin.


Kedua-dua tertuduh kemudiannya membayar wang ikat jamin yang ditetapkan mahkamah.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]