'Terkejut lihat adik perempuan lahirkan bayi'

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Seorang lelaki terkejut apabila mendapati adik perempuannya melahirkan bayi di sebuah bilik di rumah mereka di Arau, Perlis, hari ini.


Dalam kejadian kira-kira 9.20 pagi itu, pemuda berusia 24 tahun itu terjaga dari tidur kerana terdengar bunyi orang mengerang sakit dalam bilik di rumah itu.


Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, dia kemudiannya membuka pintu dan mendapati bilik itu dalam keadaan gelap.


Beliau berkata, sebaik membuka lampu, lelaki itu mendapati adik perempuannya berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pembantu  kedai makan itu dalam keadaan tidak bermaya di bawah katil.


“Manakala, bayi lelaki yang tidak bernyawa dalam keadaan sempurna ditemui berada atas katil dengan keadaan di sekeliling katil berlumuran darah.


“Pemuda itu kemudiannya memanggil keseluruhan ahli keluarganya sebelum membuat laporan ke Balai Polis Kangar memaklumkan kejadian,” katanya.


Beliau berkata, selepas itu mereka sekeluarga membawanya ke Hospital Tuanku Faudziah, Kangar bagi mendapatkan rawatan.


Wari berkata, siasatan awal mendapati anak ke 10 dari 13 adik beradik itu tinggal bersama ibu bapanya dan dua abang di rumah terbabit.


Bagaimanapun, katanya, tiada sesiapa ahli keluarga mengetahui wanita itu mengandung sehinggalah melahirkan anak di bilik tidur di rumah itu.


Tambahnya, wanita terbabit mula menyedari dirinya mengandung pada Mei 2018, namun tidak pernah merujuk kepada mana mana klinik atau hospital kerana takut akan diketahui pihak keluarga.


“Dia mendakwa menjalinkan hubungan intim enam kali dengan teman lelaki berusia sekitar 20-an di rumah lelaki itu di Kuala Nerang,” katanya.


Bagaimanapun, katanya, teman lelaki enggan bertanggungjawab, menukar nombor telefon dan tidak menghubungi lagi gadis itu apabila mengetahui dirinya hamil.


Wari berkata, wanita itu kini dirawat di HTF, sementara mayat bayi itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]