Tun M pemimpin sekular: Harussani

in Nasional by


SINTOK – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang pemimpin bersifat sekular.


Bagaimanapun menurutnya, disebabkan perlembagaan negara berpandukan Islam, maka Mahathir tidak mengabaikan Islam sepenuhnya dalam pemerintahannya.


“Dia (Mahathir) seorang yang apa yang dia fikir dia nak buat dia pasti akan buat, memang pendirian dia sebegitu.


“Malah semasa beliau menjadi Perdana Menteri kali pertama dahulu, dia pernah kata kepada saya supaya kami buat perjumpaan tiga bulan sekali.


“Jadi saya akan pi jumpa dia, dari situ dia akan meminta nasihat daripada saya mengenai hal-hal atau masalah tertentu dalam pentadbiran,” katanya,ketika ditemui selepas program Institutional Building Talk: Membina Negara Bangsa Menurut Perspektif Islam dan pelancaran Buku Dia Akan Jadi Mufti di Dewan Budi Siswa, Pusat Budaya & Seni, Universiti Utara Malaysia (UUM), tadi.


Harussani berkata, walaupun pemerintahan Mahathir sekarang ini turut melibatkan rakan pemimpin dari parti bukan Islam, namun ia tidak menggugat institusi keislaman negara kita.


“Saya yakin perkara itu tak akan terjadi, dia (Mahathir) tetap dengan pegangan dia.


“Bagaimanapun, sejak Mahathir menjadi Perdana Menteri kali kedua, saya masih belum berpeluang untuk bertemu beliau.


“Mungkin ada ruang dan peluang suatu hari nanti, untuk kami bersua kembali,” katanya.


Terdahulu, Harussani berpeluang berkongsi pendapatnya dalam wacana yang berlangsung selama satu jam di Dewan Budi Siswa sempena Ulang tahun ke-15 Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir (IPDM).


Turut berlangsung pelancaran buku ‘Dia Akan Jadi Mufti’ oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Ayoib Che Ahmad.


Buku berkenaan menceritakan perjalanan hidup Harussani sehingga beliau dilantik menjadi Mufti Perak sejak 1985 sehingga kini.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]