4,000 peserta dijangka imarah Malaysia #QuranHour esok

in Nasional by


SHAH ALAM – Seramai 4,000 peserta dijangka bakal mengimarahkan kempen Malaysia #QuranHour 1439H/2018 yang dijalankan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, esok.


Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, penyertaan kempen tersebut dijangka bukan hanya di kalangan orang awam, malah institusi pengajian tinggi, sekolah serta syarikat dan agensi kerajaan.


“Alhamdulillah, persiapan telah dijalankan dan kita jangka seramai 4,000 peserta akan hadir esok termasuklah jemputan khas iaitu Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari serta Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.


“Harapan kita agar kempen kali ini bukan hanya menjadi satu acara tahunan semata-mata, tapi ia merupakan satu gelombang yang digerakkan untuk menghayati isi kandungan 114 surah di dalam al-Quran yang dilakukan secara berperingkat,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.


Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi orang ramai yang tidak berkesempatan untuk menyertai kempen tersebut dilokasi utama, mereka boleh sertai di lokasi lain yang berdekatan.


“Setakat hari ini kita dimaklumkan terdapat lebih 1,000 lokasi di seluruh negara yang turut serta kempen ini.


“Jadi orang ramai boleh memilih lokasi yang berdekatan dengan mereka untuk sama-sama menghidupkan gelombang interaksi dengan al-quran ini,” katanya.


Pada masa sama, beliau turut meminta peserta yang hadir ke lokasi utama supaya datang lebih awal untuk melancarkan perjalanan kempen tersebut.


“Seawal jam 10.30 pagi kita telah bersedia menerima kehadiran peserta tapi bagi mereka yang boleh hadir lebih awal, ia amat dialu-alukan.


“Selain itu, kita juga meminta peserta yang hadir akan membawa al-Quran terjemahan supaya bersama-sama dapat manfaat yang lebih daripada kempen ini,” katanya.


Aktiviti berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini julung kali diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam bermula jam 10.30 pagi hingga 1 petang.


Malaysia #QuranHour kali ke-4 ini bertemakan 9 Budaya Membina Tamadun yang diambil daripada Surah al-Naml.


Surah tersebut menjadi kesinambungan penghayatan Surah al-Hujurat bagi World #QuranHour pada 7 Jun lalu, iaitu dari sebuah pemupukan sahsiah diri dan etika sosial kepada kaedah membangun tamadun dalam membina sistem pentadbiran sesebuah keluarga, komuniti, organisasi dan negara.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]