Anti Berita Tidak Benar: Senator BN tak boleh halang mansuh

in Nasional by


SHAH ALAM – Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 masih boleh dimansuhkan oleh kerajaan walaupun dihalang senator BN yang menguasai Dewan Negara.


Memetik laporan portal Malaysiakini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, hal berkenaan disebabkan Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan persetujuan Dewan Negara tidak diperlukan bagi kelulusan undang-undang di Parlimen.


Menurutnya, sekiranya Dewan Negara menolak rang undang-undang (RUU) itu, RUU berkenaan akan dirujuk kembali ke Dewan Rakyat untuk kelulusan.


“Selepas Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang itu, kerajaan akan menyerahkan RUU itu kepada Yang Di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan baginda.


“RUU itu kemudiannya akan diwartakan dan berkuat kuasa,” katanya.


Hanipa menegaskan, pada asasnya, Dewan Negara hanyalah rubber stamp (‘pak turut’).


“Dewan Negara hanya boleh menunda dan menangguhkan RUU tetapi mereka tidak boleh menolaknya,” katanya.


Bagaimanapun menurutnya, beliau berharap agar Dewan Negara sekali lagi akan memberi laluan kepada kerajaan untuk meluluskan Rang Undang-Undang Anti Berita tidak Benar 2018 (Pemansuhan).


[ARTIKEL BERKAITAN: Akta Antiberita Tidak Benar akan dimansuhkan]


Pada 21 Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menyatakan Akta Antiberita Tidak Benar yang digazetkan secara rasmi pada April lepas akan dimansuhkan.


Menurutnya, kebebasan media menjadi agenda utamanya dan beliau komited dalam hal itu, yang menjadi antara perkara yang dinyatakan dalam manifesto Pakatan Harapan.


[ARTIKEL BERKAITAN: Dewan Rakyat lulus RUU mansuh Akta Antiberita Tidak Benar]


Pada 18 Ogos lalu, RUU bagi memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat.


RUU itu diluluskan setelah dibaca kali ketiga di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan mendapat undian majoriti.


Hanipa ketika menggulung RUU itu berkata undang-undang sedia ada telah mencukupi dan ia boleh dipinda jika tidak mampu untuk menangani isu berita palsu.


Untuk rekod, terdapat 32 senator BN dan tiga senator Pas di Dewan Negara.


Dewan Negara yang bermula pada 20 Ogos lalu telah meluluskan RUU GST Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018, undang-undang cukai jualan dan perkhidmatan serta dua lagi RUU selepas senator BN memberi laluan kepada kerajaan PH.


Sementara itu, pemansuhan RUU akta anti berita palsu ditangguhkan Dewan Negara ke 12 September depan.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]