Bernas sedia bantu kurang kadar pemotongan padi

in Nasional by


ALOR SETAR – Syarikat Padiberas Nasional Bhd (Bernas) sedia memberi khidmat nasihat dalam usaha membantu mengurangkan kadar pemotongan dan pemutuan padi dalam kalangan petani.


Ketua Divisyen Operasi Beras Tempatan Bernas, Mohamad Solhi Mohd Salleh berkata pemotongan pemutuan padi pada masa ini perlu dilaksana bagi memastikan padi yang diterima daripada pesawah adalah kualiti terbaik.


“Antara rungutan paling banyak kita dengar daripada petani ialah jumlah pemotongan yang tinggi tetapi kualiti padi banyak bergantung kepada proses prapenuaian.


“Kita akan buat penerangan bagi meningkatkan kesedaran petani mengenai peningkatan kualiti tanaman dan hasil padi menerusi amalan pertanian yang baik,” katanya pada sidang media selepas membawa petugas media meninjau Kilang Pemprosesan Padi Bernas di Simpang Kangkong di sini hari ini.


Petugas media dibawa melawat kilang itu yang mempunyai kapasiti mengilang lima metrik tan padi setiap jam dan mampu menempatkan 6,000 metrik tan padi di gudangnya.


Mohamad Solhi berkata purata pemotongan pemutuan padi ketika ini adalah sekitar 25 peratus dan dianggap tinggi oleh petani, namun ia ditentukan oleh kelembapan, kekotoran, kematangan dan juga kerosakan padi.


“Tugas kita tidak berhenti setakat pemotongan, kalau ada masalah kita akan turun ke sawah untuk menyiasat dan buat laporan ringkas untuk diberi kepada kementerian. Jadi dari situ kementerian akan tahu masalah yang berlaku.


“Walaupun itu bukan tanggungjawab utama Bernas tapi kita ambil peranan tersebut untuk bantu petani bagi memastikan hasil padi yang dikeluarkan mereka berkualiti,” katanya.


Katanya sejumlah 1.67 metrik tan padi dihasilkan di seluruh negara, melibatkan kawasan penanaman seluas 205 ribu hektar. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]