Enam premis kena potong elektrik

in Edisi Johor by


KOTA TINGGI – Sebanyak enam premis disyaki menjalankan aktiviti perjudian atas talian di sekitar kawasan pentadbiran Balai Kota Tinggi, Balai Bandar Tenggara dan Balai Penawar dipotong bekalan elektrik dalam Ops Dadu, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, operasi pembasmian aktiviti disyaki terlibat perjudian atas talian itu dijalankan jam 10 hingga 3 petang.


Menurutnya, operasi bersepadu itu melibatkan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bersama lima anggota Tenaga Nasional Berhad (TNB), lima anggota Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) dan tujuh anggota Pihak Berkuasa Tempatan Pengerang.


“Dalam operasi ini, anggota terlibat membuat pemotongan elektrik di bawah Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 ke atas enam buah premis di sekitar tiga kawasan pentadbiran balai dalam daerah ini.


“Polis juga menegaskan operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi melumpuhkan kegiatan perjudian secara atas talian yang dijalankan di Kota Tinggi,”katanya, semalam.


Tambahnya, beliau juga menyeru masyarakat agar menyalurkan dan menyampaikan maklumat berkaitan perjudian atas talian ini dalam usaha membantu polis membanteras jenayah itu.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]