Halimey nafi dakwaan Halimah

in Politik by


PETALING JAYA – Calon PH, Halimey Abu Bakar menafikan dakwaan yang mengatakan bahawa rakyat tidak akan memperoleh sebarang manfaat sekiranya memilih beliau dalam PRK Dun Seri Setia pada 8 September depan.


Beliau berkata, semasa perkhidmatannya sebagai ahli majlis, terdapat banyak penambahbaikan telah dilakukan di kawasan itu dan langkah itu akan dapat diperhebatkan lagi sekiranya pihaknya menjadi Adun di Seri Setia.


“Semasa saya menjadi ahli majlis, banyak benda telah saya lakukan, apatah lagi jika saya dipilih sebagai Adun. (Akan ada) lebih banyak benda yang akan dilakukan.


“Dan seperti sedia maklum, kerajaan yang memerintah di peringkat negeri adalah kerajaan PH, di peringkat persekutuan kerajaan PH juga,” katanya, hari ini.


Halimey berkata demikian bagi menjawab dakwaan calon Pas, Dr Halimah Ali yang mengatakan bahawa wakil rakyat dari PH tidak memberi manfaat kelak kerana tidak akan berani bersuara mewakili rakyat.


Mengulas lanjut, Halimey berkata, sekiranya Halimah dipilih, beliau tidak mampu melakukan sebarang perubahan berikutan suara pembangkang hanya kecil di dalam Sidang Dun


“Pembangkang juga tidak mendapat peruntukan bagi membantu rakyat khususnya di kawasan Dun Seri Setia.


“Namun jika saya dipilih nanti, saya akan melakukan tugas dengan lebih baik lagi bagi membawa suara rakyat di Sidang Dun,” katanya.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]